Tuesday, April 19, 2011

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Syor henti ambil lulusan PMR


CUEPACS mahu penjawat awam dengan Gred A diberikan gaji lebih tinggi.

JOHOR BAHRU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sudah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya tidak lagi mengambil penjawat awam berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ke bawah.

Cadangan itu selaras dengan tuntutan CUEPACS sebelum ini, yang mahu kerajaan menghapuskan Gred 1 hingga 16 dalam Skim Perkhidmatan Awam bagi membolehkan mereka diberikan gaji lebih tinggi bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini 650,000 penjawat awam berada dalam Gred 1 hingga 16 merangkumi pelbagai jawatan membabitkan semua kementerian.

“CUEPACS tidak mahu lagi ada kakitangan awam memegang sijil PMR, kita mahu semua Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita mahu kakitangan dengan Gred A... pemandu sudah ada SPM, banyak jabatan sudah naik taraf gred penjawat awam seperti tukang masak, operator sistem dan operator telefon.

“Semua sudah setaraf dan memiliki Gred 17,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bagi menerangkan isu semasa CUEPACS bersama penjawat awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

CUEPACS bulan lalu mengemukakan lima tuntutan baru kepada JPA termasuk penghapusan Gred 1 hingga 16 membolehkan penjawat awam berkenaan terus ditempatkan pada Gred 17 dengan gaji RM820 sebulan ketika ini atau RM920 jika cadangan gaji minimum yang dikemukakan pihaknya kepada JPA pada 1 Julai 2007, dipersetujui kerajaan dalam kajian semula Skim Saraan Malaysia (SSM).

Sehubungan itu, katanya, jika cadangan itu diterima JPA, kumpulan pekerja berkenaan akan mendapat suntikan baru apabila meraih pendapatan lebih tinggi berbanding sekarang.

Beliau berkata, pada ketika ini penjawat awam Gred 1 hingga 16 mempunyai gaji permulaan kira-kira RM647 dan apabila cadangan berkenaan diluluskan, kumpulan terbabit boleh menerima gaji permulaan dicampur elaun lain kira-kira RM900.

“Pendapatan gred pekerja ini di bawah RM3,000 sebulan, ia hanya cukup makan, jika mereka berkhidmat selama 25 tahun baru dapat RM3,000. Jika mereka terus ditempatkan pada Gred 17, gaji permulaan mereka ialah kira-kira RM820 sebulan dan boleh mencapai sehingga RM3,500 sebelum bersara.

“Kita tidak mahu terlalu ramai kakitangan kerajaan buat kerja sambilan kerana rakyat dan pelanggan akan mempertikaikannya, kita mahu mereka fokus kepada kerja, kita tidak mahu lihat lagi selepas ‘punch card’ terus mereka buat kerja sambilan kerana bimbang tidak cukup duit,” katanya.

Omar berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tuntutan terbabit dan menjadi hadiah bermakna buat penjawat awam menjelang sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei nanti.

Mengenai pekerja kontrak, Omar meminta jabatan kerajaan supaya tidak membuang pekerja terbabit kerana ia sesuatu yang tidak adil kepada mereka yang sebahagian daripada mereka sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

Katanya, ketika ini terdapat 45,000 kakitangan kontrak yang berkhidmat di semua agensi kerajaan dan ada antara mereka sudah berkhidmat antara 10 hingga 20 tahun.

“Saya minta semua agensi kerajaan supaya jangan memberhentikan pekerja kontrak ini, biarlah perkhidmatan mereka terus disambung supaya tidak menjadi beban kepada keluarga, ada suami isteri yang berpisah kerana tidak ada kerja, umur sudah 50 tahun jika berhenti tiada siapa nak ambil bekerja lagi. Pekerja asing pun kita jaga dengan baik, tetapi pekerja tempatan sendiri kita tidak jaga.

“Saya juga merayu kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara supaya dapat memberi ruang kepada mereka untuk menyambung kontrak, jika boleh sehingga 58 tahun,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

APA PENDAPAT ANDA ?

Pendang : Remaja Berkorban Jaga Ibu

AHLIRIDZUAN Othman menyuap makanan kepada ibunya, 
Mashitah Khamis yang terlantar lumpuh ketika ditemui di rumahnya di Taman Setia, Pendang, Kedah, semalam.

PENDANG 18 April - Kehidupan seorang wanita di Taman Setia di sini amat menyayat hati kerana hanya mampu terbaring akibat lumpuh sejak empat tahun lalu.

Namun wanita ini, Mashitah Khamis, 51, amat beruntung kerana mempunyai seorang anak bertanggungjawab dan berhati mulia, Ahliridzuan Othman, 18, yang cekal menjaganya setiap hari.

Menurut Ahliridzuan, bekas pelajar Sekolah Menengah Tanah Merah di sini, dia reda dengan apa yang menimpa ibunya dan sanggup berkorban apa saja untuknya.

"Saya tidak boleh jadi seperti remaja lain keluar bermain atau melepak kerana bila keluar sekejap pun saya sudah merisaukan emak.

"Tetapi saya tega dengan ketentuan Allah ini dan akan menjaganya tanpa mengharap balasan," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika ditemui Utusan Malaysia dalam program Singgah Sayang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaacob, di sini hari ini.

Dalam lawatannya, Suraya menyampaikan bantuan tilam kepada wanita tersebut.

Ahliridzuan memberitahu, rutin hariannya bermula pukul 6 pagi apabila dia bangun memandikan ibunya itu seterusnya menyediakan makan pagi sebelum ke sekolah setiap hari.

Tambahnya, tanggungjawab menjaga ibunya itu terpikul di bahunya memandangkan abang dan kakaknya tinggal berjauhan.

"Saya tidak salahkan mereka kerana mereka keluar untuk mencari rezeki untuk kami juga. Abang bekerja di Sungai Petani sementara kakak pula masih belajar jururawat," katanya.

Katanya, abang dan kakaknya tabah menyara keluarga dan menanggung perbelanjaan harian serta kos perubatan ibunya yang turut mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bercerita lanjut, kata Ahliridzuan, ibunya lumpuh seluruh badan sejak diserang strok empat tahun lalu.

Katanya, keadaan keluarga menjadi lebih teruk apabila dia kehilangan bapa dua tahun lalu yang meninggal dunia akibat sakit tua.

Di sebalik kesusahan tersebut, Ahliridzuan yang baru sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berharap dapat memasuki pusat latihan kemahiran.

"Saya ada memohon, namun pada masa yang sama risau juga bila masuk ke pusat latihan. Apa akan jadi dengan nasib ibu saya," katanya.

Prihatin dengan nasib remaja itu, Suraya berjanji akan mendapatkan tempat di pusat latihan berhampiran dengan rumahnya.

"Kita simpati dengan nasib adik Ahliridzuan. Namun inilah remaja yang boleh menjadi contoh kepada remaja lain, yang bersemangat waja, sanggup berkorban dan berhati mulia," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun BSN Ahliridzuan di nombor 0211229000160794 atau menelefon beliau di 012-5516395.

Sumber : Utusan Malaysia Online
KETABAHAN SEORANG ANAK MENJAGA IBUNYA PERLU DITELADANI