KUALA LUMPUR 19 Mei - Peguam syarie di Mahkamah Syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, syarat tersebut termaktub dalam peraturan dan enakmen Mahkamah Syariah.
Menurutnya, rasional ditetapkan Islam sebagai asas untuk menjadi peguam syarie bukan sahaja disebabkan penggunaan dalil dan ayat-ayat al-Quran oleh peguam ketika di mahkamah.
Sebaliknya, jelas beliau, banyak lagi sebab lain berkaitan agama yang memerlukan peguam syarie beragama Islam untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah.
''Kita tidak menghalang, cuma, ada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuk seseorang itu menjadi peguam syarie.
''Mereka ini mesti beragama Islam. Ini bukan boleh buat suka-suka. Kita bercakap soal peraturan,'' katanya ketika ditemui selepas meninjau Masjid Negara yang akan dibaik pulih, di sini hari ini.
Turut sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Jamil Khir mengulas mengenai seorang wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lepas dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan.
Hakim, Datuk Mohd. Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.
Victoria, 48, diberi tempoh 14 hari untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman tersebut. Tarikh bagi pendengaran kes itu masih belum ditetapkan.
Victoria yang memperoleh diploma dalam Undang-Undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonannya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, pihaknya tidak mengetahui agenda di sebalik permohonan itu, namun, ia secara jelas tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
''Sama ada kita setuju atau tidak, peraturan (syarat) ini tidak dipatuhi. Kalau tidak dipatuhi, bagaimana kita hendak setuju,'' ujarnya.
Mengenai tindakan Victoria yang akan mencabar keputusan hanya peguam beragama Islam boleh menjadi peguam syarie di mahkamah, Jamil Khir berkata, pihaknya bersedia untuk berdepan dengan tuntutan itu.
Sumber : Utusan Malaysia Online
DAH TERMAKTUB DALAM PERATURAN DAN ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH,
KENAPA ORANG BUKAN ISLAM NAK JADI PEGUAM SYARIE JUGAK... ???