Sunday, April 11, 2010

Belaian Lelaki Jambu

JIJIK...pakej unik dan pelik. 

KUALA LUMPUR: Ketika usaha pembanterasan banyak ditumpukan terhadap gadis urut yang menawarkan khidmat seks, ramai mungkin terlepas pandang terhadap ‘jejaka urut’ yang turut menyediakan khidmat serupa terhadap golongan sejenis yang bernafsu songsang.

Seorang pelanggan tetap sebuah pusat urut untuk golongan gay yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 30, mendedahkan kepada Metro Ahad, khidmat disediakan di premis yang sering dikunjunginya adalah pelbagai dan lebih ‘advanced’ daripada rumah urut biasa.


Menurutnya, kewujudan pusat urut gay bukan perkara baru dan ia juga bukan beroperasi secara sembunyi atau eksklusif, sebaliknya sesiapa saja boleh mengunjunginya dan mendapatkan maklumat mengenai khidmat ditawarkan.


“Tanya saja di kaunter dan pelanggan akan diberi penerangan pakej urut disediakan. Urut tradisional biasa memang ada, tetapi mereka akan mempromosi pakej yang namanya unik dan pelik.


“Sekurang-kurangnya tiga teknik disediakan. Ada ‘king massage’ yang menyediakan dua tukang urut sekali gus, badan ke badan, urut tanpa seurat benang dan semua pakej itu boleh diselitkan dengan khidmat urut menggunakan lidah dengan bayaran tambahan,” katanya.

Daniel berkata, pemilihan satu daripada pakej berkenaan jika disertakan dengan urutan menggunakan lidah memang ‘berbisa’.


“Biasanya saya memilih pakej ‘king massage’ dengan bayaran RM150 sejam. Untuk pakej ini ‘macam-macam’ boleh dilakukan, termasuk teknik ‘lidah berbisa’.


“Minta saja pada tukang urut dan bayar lebih sedikit antara RM50 hingga RM70, saya mendapat khidmat berkenaan. Bukan saja jilat, nak suruh gigit pun boleh. Semuanya sekadar mahu memuaskan nafsu,” katanya selamba sambil mengakui pernah juga mencuba teknik badan ke badan dan urut tanpa seurat benang.


Seorang lagi kaki urut gay mengatakan, bukan seorang atau dua tukang urut tetapi tidak kurang 10 tukang urut ‘jejaka jambu’ bersedia memberi perkhidmatan pelik dan di luar imaginasi di sebuah pusat urut di sini.


“Sepanjang dua tahun saya buat kerja ini (melanggan tukang urut gay), semua boleh buat. Ini kerana tukang urut itu juga bernafsu songsang macam kami dan mereka mementingkan wang,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 28.


Menurut Zack, dia turut menggemari pakej urutan yang disertakan dengan urut menggunakan lidah, namun tidak mahu menceritakan lebih lanjut kerana tidak manis dibicarakan secara terbuka.


“Faham-faham sajalah,” katanya.

Dia turut memberitahu, sekurang-kurangnya tiga pusat urut gay terkenal di Kuala Lumpur menyediakan khidmat itu.


“Pusat urut gay tidak seperti pusat urut biasa. Tukang urut dipilih menerusi album atau gambar disusun di dinding. Beritahu mana yang berkenan pada penjaga kaunter. Kebanyakan tukang urut disediakan berwajah ‘jambu’,” katanya.


Berdasarkan maklumat diberi Daniel dan Zack, wartawan Metro Ahad berkunjung ke tiga pusat urut yang sering dikunjungi dua lelaki ‘songsang’ itu dan seperti dimaklumkan dan terbukti, khidmat seperti ‘king massage’, badan ke badan, urut tanpa seurat benang, malah urut menggunakan lidah, memang ditawarkan.


“Kalau ambil pakej ‘king massage’, apabila di dalam bilik, terpulang antara awak dengan tukang urut. Urutan ini memang ada ekstra... terpulang, sama ada nak suruh urut pakai lidah pun boleh.


“Sama juga dengan urut badan ke badan, urut tanpa seurat benang... bayar lebih boleh urut dengan lidah. Budak-budak itu (tukang urut) memang biasa beri khidmat itu,” kata penjaga kaunter sebuah pusat urut gay.


Kunjungan ke dua lagi pusat urut turut mendapat reaksi sama, cuma kaedah memperkenalkan tukang urut berbeza. Ada yang meletakkan gambar tukang urut di album dan ada yang digantung di dinding.


Memualkan apabila ‘lelaki jambu’ yang ditawarkan bergambar dalam keadaan tidak berbaju, kononnya seksi.

Sumber : Harian Metro Online
BUKAN WANITA SAHAJA JADI TUKANG URUT....
LELAKI PUN ADA.... LELAKI URUT LELAKI......
AGAKNYA, KENAPA JADI BEGINI ???

Bahana SMS tipu

(Sekadar gambar hiasan)

SEGAMAT: Sebanyak 14 kes penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) membabitkan kerugian hampir RM25,000 dilaporkan di sekitar daerah ini sejak Januari lalu.

Jika dulu mangsa disuruh memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank, kini mereka menggunakan taktik berbeza dengan menjalankan urusan melalui sistem perbankan Internet.


Mangsa yang terpedaya diminta menyerahkan kata laluan akaun peribadi sebelum pihak sindiket ‘melenyapkan’ wang di dalam akaun itu.


Terbaru pada 28 Mac lalu, sindiket seumpama itu memperdaya seorang pekerja swasta berusia 30 tahun yang mengalami kerugian RM3,000.


Mangsa dikatakan menerima SMS menyatakan dia menang sejumlah wang tunai dalam sebuah peraduan dianjurkan program realiti terkenal di negara ini.

Mangsa yang juga peminat fanatik program itu tanpa berfikir panjang terus bersetuju dan menyerahkan kata laluan akaun peribadinya.


Dia hanya menyedari tertipu selepas memeriksa semula baki akaun simpanannya dan mendapati semua wang miliknya hilang sebelum melaporkan perkara itu kepada polis.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata kebanyakan mangsa adalah mereka yang terlalu ghairah dengan tawaran wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit.


Malah, kebanyakan mangsa dengan rela hati menyerahkan nombor atau kata laluan akaun bank masing-masing tanpa menyedari tindakan itu bakal mengundang padah.

Sumber : Harian Metro Online
JANGAN TERPEDAYA....
SEBANYAK MANA PUN HADIAH RINGGIT YANG DIJANJIKAN..
JIKA ANDA WAS-WAS DENGAN SMS BERKENAAN...
BUAT LAPORAN POLIS DULU SEBELUM BERLAKU PERKARA TIDAK DIINGINI...

Saya Sudah Tawar Hati

KUANTAN: “Saya tidak akan kembali kepadanya (suami) selepas apa dia lakukan terhadap saya. Saya juga takut perkara sama berulang jika saya kembali,” kata tukang cuci yang parah disimbah cuka getah oleh suaminya, dipercayai akibat menolak permintaan untuk ‘bersama’, Rabu lalu.

Menceritakan semula perkenalan dengan suaminya berusia 43 tahun itu, mangsa berkata, perkahwinan mereka diatur rakan berikutan ketika itu dia berstatus ibu tunggal anak dua selepas kematian suami yang juga peneroka Felda Bukit Sagu Dua, di sini.


“Suami pertama meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam lombong. Selepas itu saya hidup bersendirian memelihara dua anak yang masih kecil sehingga diperkenalkan dengan suami kedua oleh rakan.


“Saya tidak mengenalinya secara rapat dan hanya menurut permintaan rakan yang bimbang saya hidup sendirian selepas bergelar balu,” katanya ketika ditemui di Wad Kebakaran, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas menerima kunjungan Skuad Sayang, Wanita Umno Pahang, di sini, semalam.


Mangsa berkata, perkahwinan keduanya tidak seperti diimpikan apabila selepas tiga bulan melayari alam rumah tangga, suami keduanya mula menunjukkan belang.

“Suami saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sering meminta wang daripada saya. Dia juga suka berjudi dan membeli nombor ekor.


“Perangai buruknya semakin menjadi-jadi apabila dia kerap menghilangkan diri sebelum kembali semula ke rumah dalam keadaan marah-marah. Dia juga tidak boleh menerima teguran dan penyudahnya tubuh saya lebam dipukul,” katanya.


Mangsa berkata, dia pernah cedera di perut ketika berpantang selepas melahirkan anak bongsu akibat dibaling dengan batu tungku, selain diterajang gara-gara menolak permintaan suami mengadakan hubungan kelamin.


“Sejak itu dia tidak pernah memukul saya lagi, namun sikap berjudi dan pemarahnya tidak hilang. Dia juga beberapa kali mengugut untuk menghantar saya tinggal di wad hospital.


“Apa dikatakannya benar-benar dilakukan apabila dia tergamak menyimbah cuka getah ketika kami bertengkar pada hari kejadian,” katanya.


Mangsa berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi, dia terhidu niat suaminya apabila ternampak lelaki itu membuat campuran cuka getah dan air dalam besen di dapur rumah mereka.


“Saya bangun dari tempat tidur untuk melarikan diri, tetapi dihalang dengan parang sebelum disimbah cuka getah. Anak bongsu yang tidur bersama saya turut terkena percikan bahan berasid itu di mukanya.

“Kejadian itu turut dilihat anak sulung kami berusia 17 tahun yang cuba membantu saya tetapi dia juga dihalang daripada mendekati saya dengan parang,” katanya yang beberapa kali menuntut cerai.


Katanya, tindakan suaminya disebabkan tekanan akibat tidak dapat menerima hakikat bahawa rumah tangga mereka akan berakhir dengan perceraian.


“Saya sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan kerana sikapnya yang tidak mahu berubah. Malah, kami beberapa kali merujuk masalah ini di Mahkamah Syariah tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.


Sementara itu, Pesuruhjaya Skuad Sayang negeri merangkap Ketua Wanita Umno Pahang, Datuk Rosni Zahari, berkata pihaknya akan membantu mangsa daripada segi kaunseling bagi memulihkan semangatnya, di samping mendapatkan bantuan agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalahnya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan hamper dan wang tunai kepada mangsa. Turut hadir, Komandan Skuad Sayang kebangsaan, Datin Reny Rahayu Mohd Ishak dan Pesuruhjaya Skuad Sayang, Wanita Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Sumber : Harian Metro Online
JANGAN LETAK CUKA GETAH DALAM RUMAH....
INI MEMBAHAYAKAN ANAK-ANAK SERTA AHLI KELUARGA...


Final Piala FA : N. Sembilan Juara, Kedah Gigit Jari

FINAL PIALA FA 
KEDAH 1 - 1 N. SEMBILAN
N. SEMBILAN MENANG PENALTI 5-4


 MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama para pegawai dan pemain meraikan kemenangan menjuarai Piala FA selepas menewaskan Kedah 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - mingguan/ismail kamadin ismail kamadin & mohD. farizwan hasbullah

 KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan memerlukan tuah penentuan penalti untuk kembali menjulang Piala FA dengan menewaskan Kedah 5-4 pada perlawanan akhir edisi ke-21 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, sambil terus mengesahkan mereka kuasa baru bola sepak negara selepas menggondol Piala Malaysia, musim lalu.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit permainan sebenar mahupun setelah pengadil R. Krishnan mengheret ke masa tambahan di depan kira-kira 70,000 penonton yang majoritinya dibentuk penyokong Hijau Kuning.

Anak buah Wan Jamak Wan Hassan menjulang trofi persaingan bola sepak setelah sepakan pemain Kedah, Sabre Mat Abu ditepis penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani pada sepakan ketujuh biarpun Kedah satu ketika lebih berpeluang cerah untuk menamatkannya lebih awal akibat lawan tersasar sebanyak dua kali menerusi Zaquan Adha Radzak dan Asyraf Al Japri.

Turut menyudahkan sepakan itu bagi Negeri Sembilan ialah Norizam Salaman, Aidil Zafuan Radzak, S. Kunanlan, Shukor Adan dan Rezal Zambery Yahya sementara Kedah menerusi Shahrulnizam Mustapa, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim dan M. Aminnuddin.

Malah, Kenari lebih dulu yang menyentap lawan menerusi gol Baddrol Bakhtiar pada minit ke-27, namun disamakan oleh Shaffik Rahman, kira-kira 12 minit kemudian.

Inilah kali kelima pemilik trofi berkenaan ditentukan menerusi sepakan penalti seperti mana 1999, 2000, 2006, 2007 dan tahun lalu.

Kedah pernah memenangi salah satu daripadanya, ketika menewaskan Perlis 4-2 setelah terikat 0-0 sehingga masa tambahan dalam edisi ke-18, tiga tahun lalu.

Ini adalah kemenangan kedua Negeri Sembilan selepas 2003. Sementara itu, pemain Kedah Baddrol dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir manakala Helmi sebagai penjaga gol terbaik.

Negeri Sembilan bertindak garang untuk mencari gol awal apabila minit ketujuh sudah merakamkan serbuan pemain tengahnya, Idris Karim yang hanya kekurangan beberapa saat dan inci untuk menyambar lintasan bola hasil sepakan sudut K. Thanaraj dari sebelah kiri.

Kedah enggan ketinggalan dalam menguji gawang juara Piala Malaysia 2009 itu biarpun sepakan percuma Baddrol Bakhtiar, dua minit kemudian terlebih dulu mengenai tembok yang dibina lawan di depan kotak penalti mereka.

Bek tengah Si Rusa tiba-tiba menggamamkan seketika Kedah, namun tandukannya daripada satu sepakan bebas sebelah kanan, sekadar tersasar.

Pada minit ke-27, Stadium Nasional seperti gegak gempita dengan jeritan kegembiraan kem Kedah dan ribuan penyokong Hijau Kuning ketika menjadi saksi Baddrol mempamerkan kepintarannya menjaringkan gol pendahuluan perlawanan.

Mendapat umpanan tepat Syafiq Jamal, pemain muda yang pernah berguru di Chelsea itu dengan tenang melambungkan bola yang memukau dan mudah melepasi penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani.

Namun, giliran penyokong Hoben Jang Hoben bertempik 'Gol' pula tiba minit ke-39 setelah penyerang muda Negeri Sembilan, Shaffik Rahman menggelecek tiga pemain pertahanan dan Helmi Eliza Elias untuk menyumbat jaringan penyamaan dengan kaki kirinya.

Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan bola berpihak kepada Kedah dengan asakan bertali arus menimpa kubu anak buah Wan Jamak Wan Hassan seawal minit ke-46 masing-masing menerusi percubaan Khyril Muhymeen Zambri, Fazliata Taib, Baddrol dan Syafiq.

Enggan dihukum seperti minit ke-27, Shukor, bekas ketua pasukan negara dan gandingan pertahanan tengahnya, Aidil Zafuan Radzak sentiasa bekerja keras menyekat kemaraan menggila Sang Kenari sekali gus melegakan seketika Sani Anuar yang agak cemas.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan berpeluang mengejutkan skuad bimbingan Ahmad Yusof dan hanya kelengahannya meledakkan sepakan bola dalam kotak penalti minit ke-74, memudahkan Helmi Eliza menangkap bola percubaan pemain kelahiran Melaka itu.

Perlawanan kemudian diheret ke masa tambahan 30 minit setelah kedudukan masih terikat 1-1.

Norizam Salaman yang masuk menggantikan Firdaus Azizul pada babak kedua pula menguji Helmi Eliza dengan sepakan percuma yang melengkung namun masih sempat ditepis keluar penjaga gol Kedah itu pada minit ke-96.

Kedah pula mensia-siakan peluang untuk kembali di depan pada minit ke-100 menerusi rembatan tersasar pemain gantian, Wan Zaim Wan Azizan hasil umpanan ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapa.

Namun, penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak yang mendapat kesempatan terbaik menerusi rembatan kaki kanannya pada minit ke-115 turut dinafikan gol dengan tepisan pantas Helmi Eliza.

Begitu juga sepakan bebas Baddrol yang sekadar singgah tepat ke dakapan penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar, dua minit kemudian.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TAHNIAH N.SEMBILAN, KEDAH CUBA LAGI TAHUN HADAPAN....
MASIH ADA 2 PIALA MUSIM INI... CUBA YANG TERBAIK....
SALAH SIAPA KEDAH KALAH ?