Sunday, April 11, 2010

Bahana SMS tipu

(Sekadar gambar hiasan)

SEGAMAT: Sebanyak 14 kes penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) membabitkan kerugian hampir RM25,000 dilaporkan di sekitar daerah ini sejak Januari lalu.

Jika dulu mangsa disuruh memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank, kini mereka menggunakan taktik berbeza dengan menjalankan urusan melalui sistem perbankan Internet.


Mangsa yang terpedaya diminta menyerahkan kata laluan akaun peribadi sebelum pihak sindiket ‘melenyapkan’ wang di dalam akaun itu.


Terbaru pada 28 Mac lalu, sindiket seumpama itu memperdaya seorang pekerja swasta berusia 30 tahun yang mengalami kerugian RM3,000.


Mangsa dikatakan menerima SMS menyatakan dia menang sejumlah wang tunai dalam sebuah peraduan dianjurkan program realiti terkenal di negara ini.

Mangsa yang juga peminat fanatik program itu tanpa berfikir panjang terus bersetuju dan menyerahkan kata laluan akaun peribadinya.


Dia hanya menyedari tertipu selepas memeriksa semula baki akaun simpanannya dan mendapati semua wang miliknya hilang sebelum melaporkan perkara itu kepada polis.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata kebanyakan mangsa adalah mereka yang terlalu ghairah dengan tawaran wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit.


Malah, kebanyakan mangsa dengan rela hati menyerahkan nombor atau kata laluan akaun bank masing-masing tanpa menyedari tindakan itu bakal mengundang padah.

Sumber : Harian Metro Online
JANGAN TERPEDAYA....
SEBANYAK MANA PUN HADIAH RINGGIT YANG DIJANJIKAN..
JIKA ANDA WAS-WAS DENGAN SMS BERKENAAN...
BUAT LAPORAN POLIS DULU SEBELUM BERLAKU PERKARA TIDAK DIINGINI...

No comments: