FINAL PIALA FA
KEDAH 1 - 1 N. SEMBILAN
N. SEMBILAN MENANG PENALTI 5-4
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama para pegawai dan pemain meraikan kemenangan menjuarai Piala FA selepas menewaskan Kedah 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. - mingguan/ismail kamadin ismail kamadin & mohD. farizwan hasbullah
KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan memerlukan tuah penentuan penalti untuk kembali menjulang Piala FA dengan menewaskan Kedah 5-4 pada perlawanan akhir edisi ke-21 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, sambil terus mengesahkan mereka kuasa baru bola sepak negara selepas menggondol Piala Malaysia, musim lalu.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat 90 minit permainan sebenar mahupun setelah pengadil R. Krishnan mengheret ke masa tambahan di depan kira-kira 70,000 penonton yang majoritinya dibentuk penyokong Hijau Kuning.
Anak buah Wan Jamak Wan Hassan menjulang trofi persaingan bola sepak setelah sepakan pemain Kedah, Sabre Mat Abu ditepis penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani pada sepakan ketujuh biarpun Kedah satu ketika lebih berpeluang cerah untuk menamatkannya lebih awal akibat lawan tersasar sebanyak dua kali menerusi Zaquan Adha Radzak dan Asyraf Al Japri.
Turut menyudahkan sepakan itu bagi Negeri Sembilan ialah Norizam Salaman, Aidil Zafuan Radzak, S. Kunanlan, Shukor Adan dan Rezal Zambery Yahya sementara Kedah menerusi Shahrulnizam Mustapa, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim dan M. Aminnuddin.
Malah, Kenari lebih dulu yang menyentap lawan menerusi gol Baddrol Bakhtiar pada minit ke-27, namun disamakan oleh Shaffik Rahman, kira-kira 12 minit kemudian.
Inilah kali kelima pemilik trofi berkenaan ditentukan menerusi sepakan penalti seperti mana 1999, 2000, 2006, 2007 dan tahun lalu.
Kedah pernah memenangi salah satu daripadanya, ketika menewaskan Perlis 4-2 setelah terikat 0-0 sehingga masa tambahan dalam edisi ke-18, tiga tahun lalu.
Ini adalah kemenangan kedua Negeri Sembilan selepas 2003. Sementara itu, pemain Kedah Baddrol dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir manakala Helmi sebagai penjaga gol terbaik.
Negeri Sembilan bertindak garang untuk mencari gol awal apabila minit ketujuh sudah merakamkan serbuan pemain tengahnya, Idris Karim yang hanya kekurangan beberapa saat dan inci untuk menyambar lintasan bola hasil sepakan sudut K. Thanaraj dari sebelah kiri.
Kedah enggan ketinggalan dalam menguji gawang juara Piala Malaysia 2009 itu biarpun sepakan percuma Baddrol Bakhtiar, dua minit kemudian terlebih dulu mengenai tembok yang dibina lawan di depan kotak penalti mereka.
Bek tengah Si Rusa tiba-tiba menggamamkan seketika Kedah, namun tandukannya daripada satu sepakan bebas sebelah kanan, sekadar tersasar.
Pada minit ke-27, Stadium Nasional seperti gegak gempita dengan jeritan kegembiraan kem Kedah dan ribuan penyokong Hijau Kuning ketika menjadi saksi Baddrol mempamerkan kepintarannya menjaringkan gol pendahuluan perlawanan.
Mendapat umpanan tepat Syafiq Jamal, pemain muda yang pernah berguru di Chelsea itu dengan tenang melambungkan bola yang memukau dan mudah melepasi penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani.
Namun, giliran penyokong Hoben Jang Hoben bertempik 'Gol' pula tiba minit ke-39 setelah penyerang muda Negeri Sembilan, Shaffik Rahman menggelecek tiga pemain pertahanan dan Helmi Eliza Elias untuk menyumbat jaringan penyamaan dengan kaki kirinya.
Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan bola berpihak kepada Kedah dengan asakan bertali arus menimpa kubu anak buah Wan Jamak Wan Hassan seawal minit ke-46 masing-masing menerusi percubaan Khyril Muhymeen Zambri, Fazliata Taib, Baddrol dan Syafiq.
Enggan dihukum seperti minit ke-27, Shukor, bekas ketua pasukan negara dan gandingan pertahanan tengahnya, Aidil Zafuan Radzak sentiasa bekerja keras menyekat kemaraan menggila Sang Kenari sekali gus melegakan seketika Sani Anuar yang agak cemas.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan berpeluang mengejutkan skuad bimbingan Ahmad Yusof dan hanya kelengahannya meledakkan sepakan bola dalam kotak penalti minit ke-74, memudahkan Helmi Eliza menangkap bola percubaan pemain kelahiran Melaka itu.
Perlawanan kemudian diheret ke masa tambahan 30 minit setelah kedudukan masih terikat 1-1.
Norizam Salaman yang masuk menggantikan Firdaus Azizul pada babak kedua pula menguji Helmi Eliza dengan sepakan percuma yang melengkung namun masih sempat ditepis keluar penjaga gol Kedah itu pada minit ke-96.
Kedah pula mensia-siakan peluang untuk kembali di depan pada minit ke-100 menerusi rembatan tersasar pemain gantian, Wan Zaim Wan Azizan hasil umpanan ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapa.
Namun, penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak yang mendapat kesempatan terbaik menerusi rembatan kaki kanannya pada minit ke-115 turut dinafikan gol dengan tepisan pantas Helmi Eliza.
Begitu juga sepakan bebas Baddrol yang sekadar singgah tepat ke dakapan penjaga gol Si Rusa, Sani Anuar, dua minit kemudian.
Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHNIAH N.SEMBILAN, KEDAH CUBA LAGI TAHUN HADAPAN....
MASIH ADA 2 PIALA MUSIM INI... CUBA YANG TERBAIK....
SALAH SIAPA KEDAH KALAH ?
Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHNIAH N.SEMBILAN, KEDAH CUBA LAGI TAHUN HADAPAN....
MASIH ADA 2 PIALA MUSIM INI... CUBA YANG TERBAIK....
SALAH SIAPA KEDAH KALAH ?
No comments:
Post a Comment