Friday, February 04, 2011

Brendan Sedia Timbang Tawaran Beraksi Dalam Skuad Kebangsaan Harimau Malaya

BRENDAN (kiri) bertindak sebagai nadi di jentera tengah Sydney FC dalam saingan Liga Australia.

JIKA Indonesia berbangga dengan pemain natrulisasinya dari Belanda, Irfan Bachdim, kini Malaysia juga mampu menguatkan lagi skuad kebangsaan dengan seorang pemain kelahiran Australia, Brendan Gan.

Pemain tengah Sydney FC itu kacukan Australia/Malaysia kini beraksi dalam Liga A Australia.

Pemain berusia 22 tahun ini dilahirkan dan dibesarkan di Sydney tetapi bapanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan.

Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), dia layak mewakili Malaysia.

 SELAIN menjadi penggerak di bahagian tengah, Brendan juga boleh beraksi sebagai pemain sayap.

Baru-baru ini, Brendan sempat menonton aksi skuad bola sepak negara menerusi siaran langsung ketika saingan Piala Suzuki AFF 2010 dan dia mengakui kagum dengan corak serta taktikal yang dipraktikkan ketua jurulatih, K. Rajagobal.

Dalam satu temu bual khas dengan Astro Awani baru-baru ini, Brendan juga menegaskan bahawa kelab yang diwakilinya sekarang memberinya galakan beraksi dengan skuad kebangsaan Malaysia jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan memanggilnya.

Brendan selesa bermain di bahagian tengah, namun dia juga berupaya beraksi di bahagian sayap kanan dan kiri.

Mungkin FAM kini boleh menghantar jurulatih, Rajagobal atau jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee ke Sydney untuk meninjau dan melihat sendiri kemampuan Brendan beraksi dalam saingan Liga A Australia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad sebelum ini mengesahkan bahawa badan induk bola sepak negara itu akan segera menghubungi Sydney FC bagi mendapatkan butiran terperinci mengenai Brendan sebelum memanggilnya untuk tugasan antarabangsa.

Sumber : Kosmo Online
DENGAN HARAPAN PEMINAT MALAYSIA SUPAYA DAPAT MEMBAWA BRENDAN INI MEWAKILI MALAYSIA BAGI SAINGAN KELAYAKAN OLIMPIK DAN PIALA DUNIA..
MALAYSIA BOLEH!!