Tuesday, February 16, 2010

Macam-Macam: Bisikan keramat isteri

BRISTOL: Seorang lelaki yang koma dua minggu selepas jatuh dari bumbung bangsal setinggi empat meter, tersedar apabila isterinya berbisik mengatakan beliau menjadi datuk kepada cucu pertama mereka.

Akhbar Daily Mail melaporkan David Russell, 60, membuka mata selepas isterinya berkata: “Bangunlah, awak sudah menjadi seorang datuk.”

Doktor sebelum itu memberi amaran jika tersedar, Russel mungkin mengalami kerosakan otak yang serius, namun sejurus mendengar bisikan itu, Russell tersenyum dan mengenyitkan mata ke arah isterinya. - Agensi

Sumber : Berita Harian Online

COBAAN...

Lelaki Ditahan Pandu Laju Dakwa Uji Enjin

KUALA TERENGGANU: Seorang penjawat awam memberitahu anggota polis yang menahannya pada operasi 'Mencegah Samseng Jalanan', di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, Setiu awal pagi kelmarin, dia memandu laju sekadar untuk berhibur.

Malah, lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu hospital itu mengaku sedar perbuatannya satu kesalahan, namun tetap melakukannya kerana dipengaruhi rakan untuk menguji kehebatan enjin BMW yang baru diubah suai.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Ismail Man, berkata lelaki terbabit antara empat pemandu kereta mewah ditahan dalam operasi sempena Tahun Baru Cina jam 12.15 pagi.

Beliau berkata, sekumpulan 10 lelaki berusia 21 hingga 31 tahun berasal dari Permaisuri, Setiu menaiki tiga BMW dan sebuah Nissan memandu laju ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Katanya, sebelum ditahan beliau bersama empat anggota trafik yang membuat rondaan terserempak dengan kumpulan berkenaan yang berlumba sesama sendiri.

"Pemandu empat kereta terbabit bukan saja memandu laju dan memotong di sebelah kiri jalan, malah mereka juga tidak memakai tali pinggang keledar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kereta dinaiki pemandu terbabit tidak cukai jalan manakala enjin ditukar tanpa kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Beliau berkata, polis menahan kereta dan pemandu terbabit mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan.

Sumber : Berita Harian Online

"dia memandu laju sekadar untuk berhibur"
KALAU LANGGAR ORANG, SIAPA YANG SUSAH ????

Besi Landasan Mengembang, Bengkok

 
ANGGOTA polis memeriksa gerabak kereta api 
yang terbalik di kilometer 58.75 berdekatan Kampung Guar Stesen Dalam, kelmarin.


YAN: Kejadian membabitkan 28 gerabak kereta api barang terbalik di kilometer 58.75 berhampiran Kampung Guar Stesen Dalam, Guar Chempedak di sini, kelmarin dipercayai berpunca akibat kerosakan landasan.


Ketua Operasi Balai Bomba Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa, berkata siasatan awal mendapati, kemungkinan kerosakan itu berpunca daripada cuaca yang terlalu panas menyebabkan besi landasan mengembang dan bengkok.


"Saya difahamkan, cuaca panas yang melampau kelmarin, mendorong kepada punca kejadian itu.


"Kita menolak sebarang unsur khianat. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dilakukan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Suhu tertinggi dicatatkan di Kedah kelmarin adalah 37 darjah Celsius iaitu pada pukul 5 petang dan antara jam 2 hingga 5 petang suhunya adalah sekitar 35 hingga 36 darjah Celsius. Kadar suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998.


Hasbullah berkata, kereta api 28 gerabak itu yang bermuatan 56 kontena dengan tiga daripadanya membawa susu getah selain barang berasaskan getah dipercayai untuk kegunaan industri, sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth.


"Tiga tangki bermuatan susu getah yang mengalami kebocoran itu dipercayai mengandungi sedikit campuran gas amonia. Bagaimanapun, penduduk kampung dinasihatkan supaya tidak cemas kerana cecair berkenaan tidak berbahaya dan memudaratkan.


"Keadaan ketika ini terkawal. Sebanyak tiga jentera termasuk unit Hazmat dengan 18 anggota ditempatkan di lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan," katanya.


Dalam kejadian kelmarin, 28 gerabak kereta api barang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir, menyebabkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Hatyai dari Gemas, Johor, dan perkhidmatan Ekspres Hatyai-Langkawi dari Padang Besar, tergendala kerana landasan ditutup.


Sementara itu, penduduk kampung, Md Desa Said, 53, berkata dia terkejut selepas mendengar bunyi dentuman di belakang rumahnya kira-kira jam 4 petang kelmarin, sebelum melihat gerabak kereta api itu terbalik.


Katanya, dia cuba mendekati gerabak kereta api itu, namun terpaksa berpatah balik selepas terhidu bau gas yang terlalu kuat.

Sumber : Berita Harian Online

NASIB BAIK KERETAPI BARANG, KALAU KERETAPI BAWA ORANG ... 
MESTI PARAH KAN.. COBAAN....

Juara Sasaran Malaysia




BIARPUN dibarisi ramai pemain baru, Malaysia tetap meletakkan sasaran untuk menjuarai Pusingan Kelayakan ASEAN Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Jakarta, Indonesia yang bermula Sabtu ini hingga 25 Februari.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, jika mampu muncul tiga pasukan terbaik pada pusingan kelayakan ini, Malaysia akan melangkah ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Mei depan.

"Pihak pengurusan mahu pasukan ini mengekalkan rekod bersih kerana sejak 10 tahun terakhir ini, kita tidak pernah gagal layak ke pusingan akhir. Jadi kita harap dapat menjadi juara pusingan kelayakan kali ini.

"Jika pemain tampil dengan komitmen 100 peratus, saya rasa tiada alasan untuk kita gagal muncul sebagai tiga pasukan terbaik dan seterusnya layak ke Uzbekistan," kata Hamidin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hamidin yang juga merupakan pengurus pasukan mengumumkan senarai 14 pemain yang bakal terbang ke Jakarta pada Khamis ini dengan mengetepikan enam pelatih iaitu Hishamuddin Manjur Ahmad, Farid Yusof, R. Deventhiran, Samsul Abd. Latif dan Ahmad Ridzuan Abd. Halim.

Sementara itu, jurulatih negara, Maizal Hairi Marzuki menjelaskan, ketiga-tiga penjaga gol iaitu S. Devandran, Firdaus Razali dan Hafis Awang disenaraikan dalam skuad ke Jakarta bagi memastikan sejarah hitam pada Kejohanan Futsal ASEAN 2009 di Vietnam Jun lalu tidak berulang.

"Ketika di Vietnam, kami hanya bawa dua penjaga gol dan kedua-dua mereka telah dilayangkan kad merah ketika perlawanan pertama menentang Indonesia. Kemudian kami tidak mempunyai penjaga gol pada aksi kedua yang cukup penting ketika bertemu Thailand.


MAIZAL (kanan) memberi penerangan kepada pemainnya sebelum memulakan sesi latihan kelmarin.


"Jadi kita tak mahu ambil risiko insiden seperti itu berulang kali ini. Tentang saingan peringkat kumpulan di Jakarta nanti, saya rasa Vietnam pasukan paling mencabar manakala pertemuan dengan Filipina dan Kemboja, kita yakin boleh menang," ujar Maizal.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Addie Azwan Zainal, 30, menganggap Indonesia lawan lebih mudah untuk ditumpaskan berbanding Australia apabila kedua-dua pasukan itu bakal menjadi lawan jika mereka layak ke separuh akhir.

"Biarpun Indonesia beraksi di hadapan penyokong sendiri, mereka masih sama taraf dengan kita. Tapi Australia jelas memiliki kelebihan fizikal. Apa pun, kami perlu bersedia menghadapi sesiapa saja untuk mara ke final," kata Addie yang mahu bersara selepas Sukan SEA 2011.

Sumber : Kosmo Online

KAMI SEBAGAI PEMINAT MENDOAKAN KEJAYAAN BUAT SKUAD MALAYSIA
MALAYSIA BOLEH!!

Penipuan e-Perbankan Kini Makin Serius

Penipuan e-Perbankan kini makin serius


ORANG ramai dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat diri kepada pihak ketiga. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kes penipuan siber e-Perbankan kini terbukti semakin serius apabila Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan mereka menerima lebih 100 aduan dalam tempoh dua bulan tahun ini berbanding 200 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, selain kes penipuan melibatkan e-Perbankan, terdapat juga aduan yang diterima mengenai usaha mencuri identiti pengguna untuk digunakan dalam perlakuan jenayah siber lain.

"Kes ini semakin meluas dan masalah ini berlaku kerana pengguna kurang mengetahui mengenai perkara ini.
"Sebagai pengguna, kita harus ingat bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat identiti diri sama ada kata laluan atau sebagainya kepada pihak kedua," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sumber : Kosmo Online

BERHATI-HATI DENGAN DUNIA SERBA CANGGIH INI....