Tuesday, February 16, 2010

Besi Landasan Mengembang, Bengkok

 
ANGGOTA polis memeriksa gerabak kereta api 
yang terbalik di kilometer 58.75 berdekatan Kampung Guar Stesen Dalam, kelmarin.


YAN: Kejadian membabitkan 28 gerabak kereta api barang terbalik di kilometer 58.75 berhampiran Kampung Guar Stesen Dalam, Guar Chempedak di sini, kelmarin dipercayai berpunca akibat kerosakan landasan.


Ketua Operasi Balai Bomba Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa, berkata siasatan awal mendapati, kemungkinan kerosakan itu berpunca daripada cuaca yang terlalu panas menyebabkan besi landasan mengembang dan bengkok.


"Saya difahamkan, cuaca panas yang melampau kelmarin, mendorong kepada punca kejadian itu.


"Kita menolak sebarang unsur khianat. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dilakukan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Suhu tertinggi dicatatkan di Kedah kelmarin adalah 37 darjah Celsius iaitu pada pukul 5 petang dan antara jam 2 hingga 5 petang suhunya adalah sekitar 35 hingga 36 darjah Celsius. Kadar suhu tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia adalah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998.


Hasbullah berkata, kereta api 28 gerabak itu yang bermuatan 56 kontena dengan tiga daripadanya membawa susu getah selain barang berasaskan getah dipercayai untuk kegunaan industri, sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth.


"Tiga tangki bermuatan susu getah yang mengalami kebocoran itu dipercayai mengandungi sedikit campuran gas amonia. Bagaimanapun, penduduk kampung dinasihatkan supaya tidak cemas kerana cecair berkenaan tidak berbahaya dan memudaratkan.


"Keadaan ketika ini terkawal. Sebanyak tiga jentera termasuk unit Hazmat dengan 18 anggota ditempatkan di lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan," katanya.


Dalam kejadian kelmarin, 28 gerabak kereta api barang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir, menyebabkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Hatyai dari Gemas, Johor, dan perkhidmatan Ekspres Hatyai-Langkawi dari Padang Besar, tergendala kerana landasan ditutup.


Sementara itu, penduduk kampung, Md Desa Said, 53, berkata dia terkejut selepas mendengar bunyi dentuman di belakang rumahnya kira-kira jam 4 petang kelmarin, sebelum melihat gerabak kereta api itu terbalik.


Katanya, dia cuba mendekati gerabak kereta api itu, namun terpaksa berpatah balik selepas terhidu bau gas yang terlalu kuat.

Sumber : Berita Harian Online

NASIB BAIK KERETAPI BARANG, KALAU KERETAPI BAWA ORANG ... 
MESTI PARAH KAN.. COBAAN....

No comments: