Kuala Lumpur: Program MyLesen mendapat maklum balas positif daripada institut dan sekolah memandu serta orang ramai di negara ini.
Disifatkan sebagai program prihatin terhadap masyarakat khususnya remaja, ia diyakini dapat melahirkan golongan pemandu berkhemah melalui kursus bersepadu.
Pengarah Surfine Hitech Sdn Bhd, Datuk Hanafi Mat Zin berkata, pihaknya hanya menunggu pelancaran rasmi program itu pada 15 September ini oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, pihaknya menyokong penuh MyLesen kerana yakin terhadap modul pengajaran yang lebih terperinci dan tersusun termasuk diselitkan dengan elemen baru.
“Kita menunggu cara pelaksanaan program MyLesen ini sehingga dilancarkan kelak. Walaupun borang permohonan bersekali syarat program boleh dimuat turun dari laman web JPJ, mungkin ada perubahan. Jadi kena tunggu pelancaran rasmi.
“Keuntungan pakej ini kurang sedikit berbanding biasa tetapi dari segi perkhidmatan kita sokong penuh sebab tujuannya untuk pastikan semua rakyat negara sekurang-kurangnya ada lesen memandu asas, B2,” katanya.
Hanafi yang juga Presiden Majlis Permodenan Industri Memandu Malaysia (MAPIM) berkata, perbincangan MyLesen sudah diadakan dalam kalangan ahli majlis terdiri daripada hampir 40 institut memandu (IM) dan sekolah memandu.
“Kami berpendapat MyLesen ini satu program baik dan lebih tersusun dari segi modul pengajarannya selain kos kos RM299 ditetapkan untuk lesen B2 lebih murah berbanding harga semasa RM350.
“Berkaitan program ini perlu diselesaikan dalam masa empat bulan saya yakin peserta dapat menyelesaikannya jika fokus,” katanya sambil memberitahu pakej asal masih diteruskan oleh syarikatnya di Ulu Langat, Selangor sebagai pilihan kepada orang ramai.
Di Melaka, Pengarah Institut Memandu Semangat Intrajaya Sdn Bhd Md Sajali Tumin berkata, biarpun belum dilancarkan pihaknya menerima banyak maklum balas daripada remaja memilih pakej itu.
Sumber :- HMetro Online | 3 September 2015