Saturday, January 02, 2010

Pelajar Tahfiz Tanggung Malu


SIASAT...anggota penguat kuasa Jaik menyoal siasat
pelajar Maahad Tahfiz (tengah) bersama kekasihnya.


ALOR STAR: Seorang pelajar lelaki sekolah agama Maahad Tahfiz di Jalan Langgar, di sini, sepatutnya menyertai sesi bacaan al-Quran di sekolahnya malam kelmarin, namun dia berpaling tadah apabila keluar bersama kekasihnya dan menyewa hotel bajet untuk melepaskan rindu serta menyambut tahun baru.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila mereka dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di bilik hotel berkenaan di terminal bas Shahab Perdana, di sini, dalam operasi cegah maksiat kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Malah, pelajar lelaki berusia 20-an itu turut merayu pihak berkuasa melepaskannya kerana malu jika kejadian dia ditangkap khalwat diketahui disebabkan statusnya sebagai pelajar Maahad Tahfiz.

Difahamkan, sejak menuntut di situ dia sudah menghafal lima juzuk al-Quran.

Dia dicekup berkhalwat bersama pasangannya yang juga pelajar di sebuah kolej swasta di Jalan Suka Menanti, di sini, selepas pihak berkuasa yang membuat pemeriksaan mendapati pintu bilik hotel itu berkunci dari dalam dan pintu hanya dibuka selepas setengah jam kemudian.

Ketika ditahan, dia hanya berkain pelekat tanpa baju, manakala pasangannya berpakaian lengkap berada di atas katil di bilik itu dalam keadaan terpinga-pinga.

Bagaimanapun, pasangan itu terpaksa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke pejabat agama.

Operasi bersama itu turut disertai penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kedah (AADK).

Dalam operasi di hotel berasingan, pihak berkuasa terpaksa memecahkan pintu sebuah bilik hotel di Jalan Seberang Perak, di sini apabila sepasang kekasih menginap di sebuah bilik di hotel itu enggan membuka pintu walaupun diketuk berkali-kali.

Katanya, selepas hampir sejam menunggu, pihak berkuasa terpaksa bertindak memecah pintu bilik berkenaan apabila gagal membukanya menggunakan kunci pendua yang diberi pekerja di situ, kira-kira jam 2 pagi.

Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaik, Sheikh Muhamad Suhaimi Salleh berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 5.50 pagi itu, pihaknya dengan kerjasama agensi lain menahan 10 pasangan disyaki berkhalwat dalam serbuan di beberapa hotel murah di sekitar bandar raya itu.

Beliau berkata, semua yang ditahan itu berusia antara 14 hingga 40 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

Sementara itu, Ketua Operasi AADK Kedah, Ahmad Fuad Talib berkata, daripada 21 ditahan dalam operasi itu, hanya dua disahkan positif dadah.

Sumber : Harian Metro Online

PELAJAR TAHFIZ, KURANG PENDIDIKAN DI SEKOLAH TERSEBUT KOT...
SAMPAI LUPA DOSA DAN PAHALA....... 

Nenek Terlanjur Dalam Bilik Hotel


SELIDIK...pegawai Jaip menyoal siasat suspek kes
khawat yang ditahan di hotel murah, semalam.


KUANTAN: Sambutan tahun baru kali ini pasti menjadi sejarah paling memalukan bagi seorang nenek lapan cucu berusia 54 tahun apabila ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 16 tahun lebih muda baru dikenali tiga bulan lalu.

Lebih memalukan, ketika serbuan dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kira-kira jam 7.20 pagi di sebuah hotel murah di Jalan Besar, di sini, semalam, pasangan terbabit dengan selamba memberi alasan sedang berbogel menyebabkan mereka lambat membuka pintu ketika diketuk.

“Takkan kami hendak buka pintu dalam keadaan bogel,” kata pasangan lelaki berusia 38 tahun berkenaan kepada anggota penguat kuasa yang hanya mampu menggelengkan kepala mendengarkan jawapan itu.

Malah ketika ditahan, nenek yang juga ibu tunggal beranak enam itu tanpa berselindung mengakui kesalahan dilakukan bersama pasangannya yang bekerja sebagai jurukimpal di bandar ini.

Ketika anggota penguat kuasa meminta kad pengenalan masing-masing bagi menahan mereka, wanita warga emas yang bekerja sebagai pembantu kedai itu merayu supaya dia dan pasangannya dibebaskan kerana malu jika anak dan cucu serta menantunya mengetahui perlakuan sumbangnya.

Ketua Penguat Kuasa Agama negeri, Ahmad Raffli Abdul Malek, berkata hasil siasatan dilakukan pihaknya, pasangan terbabit mengaku sudah melakukan hubungan seks ketika bermalam di hotel berkenaan.

Katanya, wanita terbabit juga mengaku baru mengenali pasangannya tiga bulan lalu dan merancang untuk berkahwin namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah kewangan.

“Nenek itu turut memaklumkan dia sudah menjanda selama enam tahun selepas kematian suami dan tinggal keseorangan di Kampung Kurnia, di sini. Pasangannya pula lelaki bujang berasal dari Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan turut mengakui bertemu malam kelmarin untuk menyambut tahun baru bersama sebelum mengambil keputusan memadu asmara di hotel berkenaan.

“Mengejutkan apabila nenek lapan cucu itu memaklumkan keputusan bermalam di hotel itu dibuat selepas bimbang diketahui orang kampung jika membawa pasangannya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui selepas operasi dinamakan ‘Ops Insaf’ itu tamat kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Raffli berkata, dalam operasi bermula jam 4 petang pada 31 Disember tahun lalu sehingga semalam, 58 ditahan kerana kesalahan berkhalwat.

Katanya, dalam operasi berkenaan 20 hotel murah dan rumah tumpangan yang menjadi tumpuan pasangan melakukan maksiat sekitar bandar ini diperiksa.

Katanya, semua pasangan ditahan dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

“Jika bersalah, mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, selain menumpukan kepada hotel dan rumah tumpangan operasi berkenaan turut dilakukan di sekitar kawasan tumpuan seperti Teluk Chempedak, Pantai Gelora, Taman Teruntum dan kawasan rekreasi Balok dalam usaha membasmi kegiatan maksiat.

“Dalam operasi di kawasan berkenaan, 25 ditahan membabitkan pelbagai kesalahan seperti berpakaian menjolok mata, minum arak dan berpeluk atau bercium di khalayak ramai,” katanya.

Sumber : Harian Metro Online

TAK KIRA UMUR, TAK KIRA PANGKAT, TAK KIRA APA....
JANJI NAFSU PUAS SAJA..... DUNIA LA NI... MACAM-MACAM DOK JADI....