Thursday, March 24, 2011

Kedah minat pancing Alberts latih skuad Hijau Kuning

ROBERT Alberts

ROBERT Alberts - jurulatih berasal dari Belanda yang mengemudi Kedah muncul juara Piala Malaysia 1993 - adalah antara beberapa calon dalam perhatian Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih menggantikan tempat Ahmad Yusof yang direhatkan.

Presidennya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas badan berkenaan, baru-baru ini tetapi enggan mendedahkan senarai calon berkenaan termasuk mengunci rapat mulut ketika ditanya mengenai ura-ura Sang Kenari bakal mendapat khidmat jurulatih import.

“Bagi kita sedikit masa membuat keputusan memilih (lantik) ketua jurulatih baru, sekarang ada beberapa nama tetapi masih belum dimuktamadkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Antara calon lain termasuk bekas jurulatih, Mustakeen Omar, Ahmad Shafiq dan Mohamad Ramli.

Ditanya, mengenai pelantikan Azraai Khor Abdullah yang juga bekas ketua jurulatih Kedah ke skuad Negeri Sembilan, dia berkata, Azraai berhak untuk membuat keputusan terbaik dan menjelaskan ia tidak mengganggu pemilihan ketua jurulatih baru pasukan Hijau Kuning.

Sumber : Berita Harian Online

 
PADA PENDAPAT ANDA ? 
SIAPAKAH YANG LEBIH LAYAK ? 
JOM KOMEN KAT BAWAH NI...