Sunday, November 08, 2009

Ujian sebenar Ancelotti, Chelsea

LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ance- lotti sedar pertembungan dengan Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge malam ini bakal menjanji- kan ujian sebenar kredibiliti pasukannya itu untuk muncul juara musim ini.

Namun, Ancelotti tetap percaya lawannya itu yang juga juara bertahan mempunyai kelemahan yang boleh dieksploitasikan oleh anak-anak buahnya.



Ancelotti pernah menyingkirkan anak-anak buah Alex Ferguson itu sebanyak dua kali dalam saingan Liga Juara-Juara ketika beliau membimbing AC Milan serta membawa Chelsea menundukkan United menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi Perisai Komuniti, Ogos lalu.

United juga tidak pernah mencatat keme- nangan di Stamford Bridge sejak tahun 2002 dan barisan pertahanan mereka sudah bolos sebanyak 11 kali pada saingan liga musim ini.

Untuk memburukkan lagi keadaan, tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand masih diketepikan akibat kecederaan belakang dan Ancelotti menjangkakan Chelsea mampu menembusi pertahanan tengah United dengan mudah, seperti dilakukan Liverpool.

"Liverpool beraksi cukup baik ketika mereka menewaskan United, sebab itulah mereka menang.
"Mereka tidak memberikan United pelu- ang untuk beraksi seperti biasa. Ia suatu pengajaran penting buat kami kerana United mudah goyah jika bahagian tengah mereka ditekan.

"Saya juga berasakan Ferdinand seorang pertahanan yang baik. Tanpanya, United hilang sesuatu. Tetapi kami tidak mahu bergantung kepada kelemahan lawan, sebaliknya menampilkan kualiti kami di atas padang," kata Ancelotti.

Sementara itu, Ferguson berharap Nemanja Vidic akan cergas sepenuhnya untuk mengatasi masalah dibolosi tiga kali oleh CSKA Moscow, Rabu lalu tatkala penyerang dari Bulgaria, Dimitar Berbatov bakal kembali selepas kecederaan lututnya pulih.

"Saya rasa Ancelotti akan melakukan yang terbaik. Dia seorang jurulatih yang hebat ketika di Milan dan kini memiliki pula pemain-pemain yang hebat di Chelsea.

"Jadi mungkin sesuatu yang mudah untuk pemain Chelsea memahami taktikalnya kerana mereka semuanya pemain berpengalaman. Nampak sesuatu yang memudahkan kerjanya berbanding jika beliau membimbing pemain muda," kata Ferguson. - AFP

Sumber : Kosmo Online

CHELSEA ATAU MAN UTD ?

Rumah tersadai di tepi jalan


BESUT - Dua buah keluarga di Kampung La, Hulu Besut terkejut besar apabila mendapati rumah mereka tinggal tapak selepas ia dipercayai dihanyutkan arus deras ekoran banjir kelmarin.

Bagaimanapun, kesemua 15 mangsa daripada dua keluarga itu bernasib baik kerana mereka sudah berpindah lebih awal memandangkan air mulai naik sejak pukul 8 pagi kelmarin.

Seorang mangsa, Ibrahim Daud, 37, menyedari rumahnya sudah berganjak sejauh 200 meter ketika pulang untuk mengambil barang kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.

"Sebelum itu saya bersama isteri dan enam orang anak kami sudah berpindah ke pusat pemindahan banjir di masjid Kampung La sebelum saya pulang ke rumah pada petangnya,'' kata Ibrahim ketika ditemui dekat sini semalam.

Sumber : Kosmo Online

BEGINIKAH RUMAH DI BESUT ?

Tujuh Kes Dera Sehari


PUCHONG - Masalah penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan dan menunjukkan peningkatan daripada 2,279 kes pada tahun 2007 kepada 2,780 kes tahun lalu.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk empat bulan pertama tahun ini mendapati sebanyak 819 kes jenayah itu dilaporkan atau purata tujuh kes sehari.

Tidak cukup dengan itu, kes-kes penderaan yang dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya melindungi anak-anak sendiri juga meningkat daripada 992 kes pada tahun 2007 kepada 1,266 kes pada 2008.

Trend itu mencetuskan rasa marah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu pejabat Peguam Negara segera mengambil tindakan tegas mendakwa penjenayah terbabit.

"Jangan biarkan penderaan kepada kanak-kanak atau terhadap sesiapa pun menjadi budaya di negara ini kerana kita ada undang-undang dan mereka yang terlibat sepatutnya dihukum,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Taman Putra Perdana di sini semalam.

Menurut statistik JKM, kes kanak-kanak hilang turut meningkat dan semakin membimbangkan. Bagi tempoh Januari 2008 hingga kini sebanyak 4,968 kes telah dilaporkan dan daripada jumlah itu 1,859 mangsa belum dijumpai.

Sumber : Kosmo Online

DERA LAGI ? KENAPA JADI BEGINI ?

Keganasan Penyokong The Red Warriors


PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tercemar dengan insiden yang sangat memalukan.

Penyokong Kelantan bagaikan hilang pertimbangan sehingga sanggup membakar harta awam seperti kerusi di tempat duduk stadium ketika perlawanan itu berlangsung.

Tidak salah menyokong tetapi emosi perlu dikawal dan mereka sepatutnya mendisiplinkan diri selama 90 minit sambil menikmati perlawanan dengan penuh semangat.

Mercun pula satu hal. Entah di mana silapnya meskipun sudah banyak kali dinyatakan bahawa mercun adalah barang larangan, namun ia tetap berjaya dibawa masuk oleh para penyokong Kelantan ke dalam stadium.
Final Piala Malaysia edisi ke-83 itu bertukar menjadi pesta mercun apabila pelbagai jenis mercun dibakar dan dilemparkan ke arah pemain.

Balingan mercun tersebut serta letupan dan asapnya hanya kelihatan di kawasan penyokong-penyokong Kelantan.



Tidak puas dengan membakar mercun, penyokong Kelantan yang kecewa mula mencabut beberapa kain rentang gergasi mereka dan bertindak membakarnya sebelum sempat dikawal oleh ahli bomba yang bertugas.
Serentak dengan itu, dentuman mercun tidak henti-henti dan asap berkepul-kepul memasuki padang, terutama selepas Kelantan ketinggalan 3-0, sehingga mengganggu tumpuan pemain dan penonton terhadap perlawanan.
Kecewa dengan kekalahan pasukan mereka, penyokong Kelantan bertindak lebih dahsyat selepas itu apabila membakar kerusi stadium. Seorang jurukamera RTM cedera dibaling batu.

Sementara itu, seorang penyokong Kelantan ditahan polis malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30- an itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam berhampiran stesen LRT Bukit Jalil oleh sepasukan polis kerana dipercayai cuba mencetuskan pergaduhan di dalam stadium.


Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, sejam kemudian lelaki terbabit dibebaskan selepas memberi keterangan kepada polis.

Pada masa yang sama, sekumpulan penyokong Kelantan mencetuskan kekacauan apabila cuba menghalang penyokong pasukan Negeri Sembilan lawan daripada beredar pulang meninggalkan stadium.

Namun sebaik sahaja anggota polis tiba, mereka berlari lintang-pukang meninggalkan kawasan itu.


Sumber : Kosmo Online

APA PENDAPAT ANDA TENTANG PENYOKONG KELANTAN

Problem Masa Nak Install Windows XP di HP Compaq Presario CQ40

Ada sesiapa pandai dengan bab format laptop HP Presario CQ40 ?


Problem dia, aku nak install windows XP kat laptop tersebut, bila aku bot cd, dia jadi kejung ( HENG ), kenapa ya ? Lepas kejung tu, dia naik benda ni :-

Error:

a problem has detected and windows have been shut down to prevent damage to your computer. if this is the first time you have seen this stop error screen, restart your computer. if this screen appears again. follow this step:

check for viruses on your computer. remove any newly installed hard drives or hard drive controllers check your hard drive to make sure it is properly configured and terminated. run CHKDSK / F to check for hard drive corruption, and then restart your computer.


mcm error dgn hard disk atau kena virus. try wat full checkdisk dulu ke?

command chkdsk /r/f


Ada sesiapa boleh bantu ? Comment pada artikel ini atau YM saya pada id ( syamsyun ) ataupun email syamsyun@yahoo.com

Adakah pasal guna cd cetak rompak ?
Adakah memang laptop tersebut x boleh intall semula window XP walhal dia memang dari window XP, cuma nak format lain saja ?
Boleh terangkan skit ?


Penin pala den ni....................


Diharap, ada yang membantu mengatasi masalah ini.  

Warga emas terperangkap ditemui lesu, kesejukan


ALOR SETAR: Seorang warga emas berusia 85 tahun ditemui dalam keadaan lesu dan kesejukan petang semalam selepas terperangkap dalam rumahnya di Kampung Tanjung, di sini yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat berterusan sejak Khamis lalu.

Aishah Ismail diselamatkan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, kira-kira jam 4 petang selepas menerima maklumat daripada suaminya berusia 86 tahun yang terperangkap di pekan.

Jurucakap Unit Tindakan Adun Kuala Nerang berkata, sejurus diselamatkan, warga emas itu terus dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut kerana kesejukan berikutan seharian terperangkap di rumahnya.

Sementara itu, seramai 474 penduduk membabitkan 119 keluarga dari 11 perkampungan di daerah Kuala Nerang dipindahkan ke sembilan pusat penempatan sementara, tetapi belum ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kuala Nerang, Shahrul Rizal, berkata hujan lebat menyebabkan air di Sungai Padang Terap naik melebihi paras bahaya 17.17 meter kepada 19.17 meter setakat jam 3 petang semalam.

Antara perkampungan terbabit ialah Kampung Pokka, Kampung Tanjung, Kampung Padang Gelanggang, Kampung Kuala Janing, Kampung Malau, Kampung Sungai Kechik, Kampung Kubang Lintah dan Kampung Seberang.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat banjir yang mungkin menjejaskan kawasan sawah.

"Kita belum menerima laporan membabitkan kawasan MADA di Wilayah 2 (Padang Terap, Kuala Nerang) walaupun paras air Sungai Padang Terap dilaporkan melebihi paras bahaya. Kita akan pastikan sistem pengairan sentiasa dipantau supaya banjir tidak menjejaskan kawasan sawah," katanya.

Sumber : Berita Harian

BANJIR LAGI?

MAS dinobat Syarikat Penerbangan Utama Asia oleh WTA


LONDON: Penerbangan Malaysia (MAS) mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Utama Asia (WLA) oleh 180,000 golongan profesional di seluruh dunia dalam undian yang dijalankan World Travel Awards (WTA).

Proses undian yang diadakan tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah 16 tahun penganjuran WTA dengan golongan profesional dari lebih 160 negara di dunia membuat pilihan mereka bagi menentukan syarikat penerbangan yang menyediakan khidmat dan hospitaliti terbaik di Asia.

Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, pengiktirafan yang diterima MAS itu adalah hasil kerja keras semua kakitangan syarikat berkenaan yang sentiasa komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Berikutan itu, beliau berkata, fokus dalam meningkatkan perkhidmatan serta penyampaian akan dilakukan secara berterusan bagi memenuhi kehendak pelanggan.

"Kami sentiasa menjalankan kaji selidik dalaman dan luaran serta mengumpul semua maklumat dan maklum balas daripada pelanggan serta kabin krew selepas setiap penerbangan untuk mengetahui apa yang harus dilakukan untuk meningkatkan perkhidmatan bagi memuaskan hati pelanggan.

"Hasilnya, kita berjaya memperbaiki mutu perkhidmatan ke tahap lima bintang dan kejayaan yang diperolehi ini membuktikan industri dan pelanggan mengiktiraf perkhidmatan yang disediakan MAS, sekali gus melengkapkan siri kejayaan yang dicapai selama ini.
"Ini kerana untuk empat tahun berterusan bermula 2005, MAS turut diiktiraf sebagai Penerbangan Lima Bintang oleh Skytrax, sekali gus menjadikannya antara enam syarikat penerbangan dunia yang menerima anugerah tertinggi itu," katanya selepas menerima anugerah berkenaan di Grosvenor House, dekat sini, malam tadi.

MAS sebelum ini turut memenangi anugerah `Kakitangan Kabin Terbaik Dunia' oleh Skytrax selama enam tahun iaitu 2001 hingga 2004, 2007 dan 2009.

Sumber : Berita Harian

TAHNIAH MAS MALAYSIA

Isteri Bingung, Suami Entah Kemana

KUANTAN: “Suami ada memaklumkan kepada anak kedua yang dia akan memindahkan semua harta miliknya ke atas nama saya sebelum ghaib entah ke mana.

“Dia juga pernah menyatakan akan menetap di Makkah sekiranya kami sekeluarga tidak suka lagi kepadanya satu hari nanti,” kata Habib Nazar Mohd Mahmood, 45, yang dalam kebingungan selepas suaminya, Hussin Ab Jalil, 52, menghilangkan diri sejak kelmarin.

Dia kini buntu memikirkan kehilangan Hussin kerana mereka berdua tidak pernah bergaduh.

Menurutnya, sebelum ini sudah menjadi rutin suaminya pulang ke rumah pada tengah hari untuk menghantar anak ke sekolah, namun pada hari kejadian dia tidak pulang.

Katanya, dia kemudian pergi ke tempat suaminya bertugas di Transit Point, di sini sebelum dimaklumkan Hussin sudah keluar sejak pagi membawa bersama beg sandang dan tidak pulang ke pejabat.


Habib Nazar yang tinggal di Bukit Istana, di sini, berkata dia meminta izin daripada pekerja di situ untuk memeriksa laci suaminya sebelum menemui kunci kereta serta telefon bimbit milik Hussin.

“Saya bertambah pelik apabila keretanya ditinggalkan di pejabat itu,” katanya yang datang ke pejabat Metro Ahad, di sini, semalam.

Suri rumah itu berkata, Hussin turut membawa pasport, geran rumah dan tanah selepas mendapati semua dokumen berkenaan yang dalam simpanannya tiada di rumah.

“Dia juga dipercayai membawa buku akaun bank yang di dalamnya mengandungi wang simpanan berjumlah RM95,000,” kata ibu kepada enam anak itu.

Dia sudah membuat laporan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada jam 3.30 pagi semalam.

Habib Nazar merayu kerjasama orang ramai untuk mengesan suaminya dengan menghubunginya di talian 017-9145935 atau balai polis berhampiran.


Sumber : Harian Metro




SESIAPA JUMPA, HUBUNGI DI TALIAN TERSEBUT.

Wanita Mengaku Anak Kerja Jawi


KUALA LUMPUR: “Tak perlu tangkap saya, anak saya juga anggota Jawi,” itu alasan seorang wanita berusia 30-an yang ditahan kerana disyaki khalwat bersama pasangannya dalam Operasi Bersepadu Cegah Gejala Sosial oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sekitar hotel murah di sini, awal pagi semalam.

Pasangan wanita terbabit, lelaki warga pakistan pula memberi alasan mereka sudah berkahwin tetapi gagal menunjukkan dokumen berkaitan apabila diminta.

Ketika serbuan dilakukan di rumah tumpangan di Jalan Petaling, wanita itu pada mulanya bersembunyi di dalam tandas dan mengunci pintu bilik dari dalam.

Selepas dipaksa akhirnya wanita itu keluar dan berkata Jawi tidak perlu menangkapnya kerana anak bertugas sebagai pegawai Jawi, namun alasan itu gagal melepaskannya daripada dikenakan tindakan.

Dalam serbuan ke hotel lain, penguat kuasa dikejutkan dengan aksi “selimut berdiri” sebelum mendapati terdapat seorang gadis yang bersembunyi di dalamnya.

Gadis itu yang malu kerana tidak memakai baju menutup badannya dalam selimut selepas bilik yang dihuninya bersama pasangannya diserbu. Dia yang menangis teresak-esak merayu agar dilepaskan, namun tindakan tetap dikenakan terhadapnya.

Dalam operasi yang bermula jam 11 malam itu, keseluruhannya enam pasangan ditahan kerana disyaki berkhalwat manakala 24 kutu rayau ditahan dalam operasi bersama antara Jawi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jurucakap Jawi ketika dihubungi berkata, pasangan yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 27, Akta 559 (a)(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM3,000, jika didapati bersalah.

Sumber : Harian Metro

ANAK KERJA JAWI, MAK KERJA ???

Jutawan tepuk dahi kerugian RM2 juta

SHAH ALAM: Seorang jutawan batu permata hanya mampu menepuk dahi apabila sekumpulan penjenayah bertindak nekad merempuh teksi dinaiki sebelum merompak beg berisi ratusan butir batu permata bernilai hampir RM2 juta.

Kejadian terbabit dikesan didalangi oleh Geng Colombia yang terlebih dahulu mengekori lelaki warga Hong Kong itu yang dalam perjalanan untuk mengambil penerbangan pulang ke negara asal.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, 29 Oktober lalu apabila mangsa yang juga seorang ahli perniagaan batu permata dan berlian dari Hong Kong dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mangsa berada di negara ini untuk menjalankan urusan perniagaan, terutama dengan peniaga tempatan yang membuat tempahan.

Bagaimanapun, hanya sebahagian daripada batu permata berkenaan yang dibeli manakala baki dibawa pulang oleh mangsa ke negara asal.

Difahamkan mangsa yang berusia 40-an ketika itu menaiki teksi sambil membawa beg berisi penuh batu permata yang dianggarkan bernilai AS$500,000 (RM1.7 juta).

Sebaik melepasi tol Sepang, teksi yang dinaiki mangsa tiba-tiba dilanggar sebuah kenderaan model Kia Citra dinaiki beberapa lelaki tidak dikenali. Suspek kemudian menyerbu ke arah teksi terbabit sebelum merampas beg berisi batu berlian berkenaan sebelum melarikan diri.

Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis sebelum pulang ke Hong Kong.

Menurut sumber, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu dalang kes rompakan berkumpulan berkenaan.

“Hasil risikan dan siasatan dilakukan, polis Selangor berjaya memberkas enam suspek utama berusia 24 hingga 45 tahun . Siasatan mendapati suspek, termasuk beberapa wanita berkenaan berasal dari Colombia, Amerika Selatan.

“Polis mengesyaki, kumpulan penjenayah terbabit memang mengatur rancangan untuk merompak ahli perniagaan batu permata berkenaan sebelum mengekori teksi itu yang ingin dirompak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, polis masih mengesan saki baki kumpulan penjenayah Amerika Latin berkenaan.

“Agak sukar untuk memaksa suspek membuka mulut berikutan masalah bahasa ketika berkomunikasi. Namun, polis akan memanggil semula ahli perniagaan Hong Kong yang menjadi mangsa itu datang semula ke Malaysia untuk melakukan pengecaman.

“Kejayaan menumpaskan geng Timur Latin ini adalah hasil tindakan pantas pasukan polis khas menghidu gerak geri penjenayah yang sebelum ini gemar melakukan kes curi, pecah rumah dan samun di sekitar Selangor sebelum ini,” katanya,.

Geng penjenayah berasal dari Colombia, Amerika Selatan pernah menggemparkan negara apabila terbabit dalam kejadian memperdayakan tiga pengawal keselamatan sebelum melarikan wang tunai RM1 juta di KLCC pada 22 April 2004.

Berikutan itu, polis melancarkan operasi dan menahan 15 warga Colombia, termasuk empat wanita yang dikesan menggunakan taktik menaburkan wang ke lantai untuk memperdaya mangsa sebelum melarikan wang.

Malah, sehingga kini berpuluh ahli sindiket pecah rumah membabitkan warga asing dari Amerika Selatan dari Colombia dan Mexico diberkas polis selepas dikesan aktif melakukan jenayah pecah rumah, termasuk di Putrajaya.

Sumber : Harian Metro

JANGAN BAWA DUIT BANYAK SANGAT. KAN DAH KENA !!!

Suraya ganti Syed Hamid terajui MAYC


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Presiden Penaja Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan, Suraya Yaakob hari ini secara rasmi mengambil alih tugas-tugas presiden daripada Tan Sri Syed Hamid Albar yang menerajuinya sejak tahun 2000.

Pengambilalihan itu berikutan pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang mewajibkan persatuan belia diterajui belia tidak melebihi usia 40 tahun.

Majlis penyerahan tugas itu berlangsung sewaktu mesyuarat antara Syed Hamid, Suraya dan anggota Exco MAYC Kebangsaan di ibu negara petang ini.

Suraya, 40, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Kedah dipilih sebagai presiden penaja pada Disember 2008.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Syed Hamid memberitahu, jawatan Suraya sebagai Presiden MAYC akan disahkan pada mesyuarat agung yang dijadualkan berlangsung Mac ini.

Menurutnya, penyerahan kuasa secara rasmi pada mesyuarat agung itu kelak akan turut melibatkan anggota exco pertubuhan tersebut.

Tambahnya, beliau akan sedaya upaya memastikan peralihan kuasa itu berjalan lancar tanpa menimbulkan sebarang masalah termasuk isu-isu hutang dan aset persatuan tersebut.

"MAYC menyambut baik pelaksanaan akta ini yang menghendaki pemimpin persatuan belia tidak lebih 40 tahun.

"Malah sebelum akta itu diluluskan, saya telah membentuk jawatankuasa penaja di kalangan orang muda bagi mengambil alih teraju MAYC sebelum akta itu diluluskan lagi," katanya.

Mengenai isu hutang-hutang MAYC, Syed Hamid berkata, pertubuhan itu tidak akan menjual aset yang ada termasuk bangunan Kompleks MAYC di Jalan Syed Putra.

Menurutnya, kompleks yang bernilai RM20 juta itu merupakan bangunan yang penuh dengan nostalgia kepada MAYC.

"MAYC berharap kerajaan membantu menyelesaikan isu ini kerana MAYC adalah pertubuhan belia yang tidak berasaskan keuntungan," katanya.

Sementara itu, Suraya yang pernah dinobatkan Tokoh Belia Wanita 2007 gembira kerana menerima peralihan kuasa tersebut dalam keadaan yang sempurna.

"Bagi memastikan kemantapan MAYC, beberapa pindaan perlembagaan akan dibincangkan pada mesyuarat agung nanti," katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan memohon kepada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) untuk membolehkan tarikh mesyuarat agung dilanjutkan kepada Februari atau Mac depan.

Menurutnya, ini kerana tarikh akhir mengadakan mesyuarat agung pada 31 Disember ini agak suntuk untuk pihaknya membuat persediaan bagi mengadakannya.

Sumber : Utusan Malaysia

APA ITU MYIC ?

Perjuang Kepentingan Wanita


DUBAI 7 Nov. - Datin Seri Rosmah Mansor berjaya mengukir namanya pada Forum Kepimpinan Wanita yang diadakan di sini baru-baru ini, dengan menyampaikan satu ucaptama yang bernas di hadapan 300 wanita berpengaruh dalam pelbagai sektor dari seluruh dunia.

Isteri Perdana Menteri diberi penghormatan sebagai orang pertama untuk berucap pada persidangan yang dihadiri wanita-wanita yang berpengaruh dalam bidang politik, perniagaan dan akademik.

"Marilah kita berganding bahu memperjuangkan kepentingan wanita. Wanita tidak dapat lari daripada saling bergantung dan itulah yang kita perlukan, iaitu agar kita dapat bersatu," katanya pada forum yang berlangsung di Hotel Atlantis di sini.

Rosmah telah berjaya menarik perhatian hadirin terhadap peranan yang harus dimain oleh wanita untuk menghadapi cabaran dalam apa juga bidang yang mereka ceburi.

Lebih penting lagi, beliau menyebut mengenai pengalaman Malaysia dalam menangani isu melibatkan wanita selain menyentuh peranan Wanita Pertama dalam memperjuangkan agenda wanita.

Di Malaysia, katanya, wanita dilantik mengetuai kementerian, bank pusat, suruhanjaya sekuriti, universiti dan bank serta syarikat multinasional.

Menyedari pengaruh Wanita Pertama di seluruh dunia, Rosmah mencadangkan agar diadakan Sidang Kemuncak Wanita Pertama bagi Membentuk Pemimpin Wanita di Malaysia tahun depan.

Dalam senario ketidaktentuan dalam arena politik dan ekonomi antarabangsa pula, beliau berkata: "Kadangkala saya terfikir, bagaimana pula keadaannya jika dunia ini mempunyai lebih ramai wanita sebagai pemimpin."

Ini, kata isteri Perdana Menteri, adalah kerana wanita bersifat lebih halus dan bencikan keganasan.
"Mereka lebih suka mengukuhkan hubungan, lebih pandai menawan hati daripada menawan negara," katanya.
Seorang peserta forum itu dari sebuah negara Asia Barat menyifatkan ucapan Rosmah itu sebagai satu peringatan kepada wanita kerana ia mengandungi banyak petunjuk ke arah kejayaan kaum hawa.

Di sebalik ucapannya yang tegas itu untuk membuka mata wanita, lawatan Rosmah ke Pusat Latihan Al Noor Untuk Kanak-kanak Istimewa pula membuktikan bahawa beliau juga tidak mengenal sempadan dalam soal mencurah kasih sayang kepada kanak-kanak.

Di kelilingi kanak-kanak dan remaja kurang cerdas, Rosmah kelihatan terharu khususnya melihat Safiya Fairooz, 4, seorang penghidap sindrom Down.

Beliau dan rombongan turut menderma RM20,000 kepada pusat itu.

Sempena kunjungannya ke sini, Rosmah turut mengadakan pertemuan dengan Puteri Haya Al Hussein, isteri Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai dan juga Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Antara yang dibincangkan ialah bagaimana Malaysia dan UAE, khususnya Dubai, dapat saling belajar daripada pengalaman masing-masing mengenai penjagaan dan pembangunan kanak-kanak istimewa. - BERNAMA

WANITA JE KE ?

Kemarau 61 Tahun Berakhir



KEPUTUSAN PENUH PIALA MALAYSIA

N. SEMBILAN ( 3 - 1 ) KELANTAN

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan mengakhiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi teragung bola sepak negara, Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebaliknya malam malang penuh hampa buat Wira Merah kerana biarpun bertemankan majoriti penonton, mereka masih gagal mematahkan tanduk Si Rusa yang melonjak megah meraikan kejayaan bersejarah sekali gus memberikan hadiah tidak ternilai buat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang baru ditabalkan 26 Oktober lalu.

Jika bersandarkan sejarah kejohanan, inilah Piala Malaysia pertama yang berjaya menebus kehampaan Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan 2006 setelah ditewaskan Perak dan Perlis pada perlawanan akhir.
Sebelum ini, Negeri Sembilan pernah sekali muncul juara iaitu pada 1948 ketika kejohanan ini menggunakan nama, Piala HMS-Malaya.

Dimulai Shahurain Abu Samah pada minit ke-18, disambung Hairuddin Omar seminit selepas rehat dan dilengkapkan Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak tanggal minit ke-59, tiada apa yang mampu dilakukan Kelantan melainkan memanjangkan penantian dan rasa kempunan yang mencecah 39 tahun untuk menikmati trofi itu.

Gol tunggal Kelantan pada masa kecederaan babak kedua pada minit ke-93 menerusi sepakan bebas ketua pasukannya, Indra Putra Mahayuddin sekadar satu sagu hati yang mengubat luka barisan Wira Merah yang terpaksa menelan hakikat pahit keputusan ini.

Kecuaian bek kiri Kelantan, Zamri Ramli mengawal bola daripada hantaran lambung ke kotak penalti menghukum pasukannya dengan gol pertama Negeri Sembilan hasil rembatan kencang Shahurain Abu Samah pada minit ke-18 tanpa mampu ditepis Mohd. Halim Napi.

Dua minit sebelum rehat, Hairuddin Omar nyaris melebarkan kedudukan Si Rusa dengan gol kedua tetapi tandukan kencangnya sekadar sipi beberapa inci daripada tiang gol Kelantan selepas mendapat umpanan lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri.

Namun hanya seminit babak kedua bermula, Hairuddin menebus kegagalan itu dengan tandukan yang menjerat Halim secara solo hasil hantaran sebelah kiri gandingan serangannya, Zaquan Adha sekali gus menjelmakan gol kedua Negeri Sembilan.

Gol yang meragut 90 peratus semangat juang Kelantan itu muncul gara-gara sangkaan barisan belakangnya yang meleset bahawa Hairuddin yang dipinjam daripada T-Team bagi Piala Malaysia musim ini, sudah berada dalam keadaan ofsaid.

Zamri sekali lagi menambah derita Kelantan gara-gara menarik tangan Shahurain yang sudah mencerobohi kubunya pada minit ke-58 lantas menghadiahkan sepakan penalti buat Negeri Sembilan yang tenang disudahkan Zaquan Adha seminit kemudian.

Ketinggalan tiga gol itu hanya tambah memberangkan penyokong Si Kijang yang bukan sahaja beransur-ansur meninggalkan tempat duduk bahkan melontar pelbagai objek termasuk mercun sehingga berkepul-kepul asap tebal di ruang angkasa gelanggang tanda tidak puas hati.
Malah ada diantaranya membakar kerusi di tempat duduk penonton.
Perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM itu turut disaksikan Tuanku Muhriz di samping Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Negeri Sembilan mendapat hadiah bonus apabila pemainnya, Shukor Adan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Dalam pada itu, Mohamad ketika ditemui berkata, beliau kagum dengan kesungguhan dan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain.

“Kita tak pernah ada hutang dengan pemain dan gaji mereka dibayar tepat pada masanya, ini antara faktor kemenangan.

“Malah pemain juga beraksi dengan baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya.

“Kita akan memikirkan imbuhan kepada pemain dan pegawai hasil daripada kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, Annuar yang diminta mengulas mengenai aksi malam tadi berkata: “Kita berpuas hati dengan permainan malam ini. Bayangkan, ini kali pertama kita ke final, tapi orang lupa.

“Memang Negeri (Sembilan) bermain dengan hebat terutama pada posisi tengah yang kental manakala kami di bahagian yang sama tak berapa kuat ditambah dengan kejutan gol yang pertama.

“Jadi ini pengalaman bagi kami. memang saya faham penyokong hampa dan saya mewakili pasukan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan harapan mereka.

“Walau apa pun, saya merayu kepada mereka supaya banyak bersabar,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online


KENAPA PENONTON / PEMINAT KELANTAN SUKA BUAT HAL BILA KELANTAN MENANG ATAU KALAH ?  

MEMANG RAKYAT KELANTAN BEGITU ?

SAMSENG SANGATKAH RAKYAT KELANTAN NI ?