Friday, March 09, 2012

Jawatan tetap dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).


JAWATAN KOSONG
Jawatan tetap dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), adalah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia mempelawa warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk mengisi jawatan berikut:-

1. Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E41
2. Pegawai Tadbir Gred N41
3. Jurutera Gred J41
4. Akauntan Gred W41
5. Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Gred F29
6. Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Gred E27
7. Setiausaha Pejabat Gred N27
8. Penolong Juruaudit Gred W27
9. Juruteknik Komputer Gred FT17
10. Pembantu Akauntan Gred W17
11. Pembantu Juruaudit Gred W17
12. Pembantu Ehwal Ekonomi Gred E17
13. Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) Gred N17

• Hanya permohonan secara online sahaja akan diterima dan diproses.
• Tarikh permohonan dibuka bermula pada 7 Mac 2012 hingga 18 Mac 2012.

Jika anda berminat atau ada kawan - kawan atau saudara mara yang berminat boleh hantar permohonan secara online di laman web FAMA:
http://inovasi.fama.gov.my/jv/

Di bawah adalah lampiran maklumat & tangga gaji bagi semua jawatan yang di tawarkan:

[Download Maklumat Tawaran Jawatan FAMA]

Terima kasih,


Sumber : Email Yahoo Group

SEMOGA DAPAT MEMBANTU ANDA YANG SEDANG MENCARI PEKERJAAN

Laksa Ikan Sekoq, Makan satu, Percuma satu di Jalan Gangsa, Alor Setar. Kedah


Makan satu, percuma satu



NAMA gerai Laksa Ikan Sekoq di Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah sudah cukup unik untuk menarik perhatian pengunjung dan pengguna yang lalu-lalang. Aroma kuah laksa daripada periuk bersaiz besar di gerai itu yang menusuk hidung mampu membangkitkan selera.
Meskipun hidangannya ringkas, laksa di gerai Laksa Ikan Sekoq cukup berbeza. Selain disajikan dengan hirisan cili merah, bawang dan telur rebus, pelanggan berpeluang menikmati seekor ikan rebus tambahan dalam setiap hidangannya. Lebih istimewa, pengusahanya mempraktikkan konsep makan sepinggan, sepinggan laksa tambah adalah percuma.
"Ini bermakna jika pelanggan meminta sepinggan lagi laksa maka mereka tidak dikenakan caj tetapi pelanggan yang meminta seekor ikan kembung tambahan, saya hanya caj di antara 50 hingga 70 sen.
"Biasanya harga ikan bergantung pada harga pasaran. Harga sepinggan laksa kami jual pada harga RM3 tetapi ia akan meningkat RM3.50 jika harga ikan meningkat," jelas pemilik gerai Laksa Ikan Sekoq, Fauzi Man, 39, yang membeli bekalan ikan kembung dan ikan selayang gred A untuk sajian laksanya.
Membangkit selera
Ditanya mengapa beliau memilih konsep seekor ikan tambahan untuk hidangan laksa, jelas Fauzi : "Saya ingin membangkitkan selera pelanggan dan mencipta signatur. Maklumlah, di Alor Setar sahaja terdapat banyak kedai yang menjual laksa."
Fauzi, yang dibantu isterinya, Hasnah Hanafi, 35, mengakui pada mulanya orang ramai kurang gemar dan pelik dengan laksa yang dijualnya. Jadi, dia menggantikan laksa yang dihidangkan bersama telur rebus sahaja. Namun lama-kelamaan ramai pula yang bertanya tentang laksa ikan sekoq sehingga mendorong Fauzi tekad menjual semula laksa dengan tambahan seekor ikan.
Mengimbas titik memulakan perniagaan, semuanya disebabkan desakan isterinya yang beria-ria untuk berniaga laksa dan ingin memperoleh wang tambahan.
Justeru, pada tahun 1995 dengan bermodalkan RM50, Fauzi membeli bahan-bahan masakan dan peralatan gerai seperti sekaki payung, dua buah meja dan lapan buah kerusi. Masih segar dalam ingatan Fauzi pada hari pertama, hanya sebungkus laksa sahaja berjaya dijual. Namun, dia tidak berputus asa.

SEAWAL pukul 11.30 pagi pelanggan mula membanjiri Gerai Laksa Ikan Sekoq yang terletak di Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah.


Bagaimanapun, selepas tempoh seminggu hasil jualannya mencecah 20 pinggan dan meningkat kepada 40 pinggan dalam tempoh sebulan.
"Bersyukur kerana pada hari ini sekurang-kurangnya kami mampu menjual 200 pinggan laksa sehari sehingga kami tidak menang tangan terutama pada waktu makan tengah hari dan musim cuti sekolah.
"Bagi memastikan para pelanggan berpuas hati dengan sajian laksa kami, isteri sentiasa menjaga kualiti kuah laksa. Lazimnya, pada pukul 9 malam isteri saya mula memasak kuah laksa bagi memastikan ikan dan bahan-bahan masakan sebati," terang Fauzi yang berpengalaman hampir 15 tahun berniaga laksa. Gerai laksa pertamanya berpangkalan di Jalan Kuala Kedah sebelum beroperasi di Jalan Gangsa pada hari ini.
Resipi peribadi
Menyentuh rahsia keenakan Laksa Ikan Sekoq sehingga ia popular dalam kalangan pelanggan hatta dari Kuala Lumpur, Perlis dan Perak, Hasnah berkata, dia tiada resipi rahsia.
Seperti orang lain menyediakan laksa menggunakan ikan yang dicampur asam keping, daun kesum dan bunga kantan, dia juga mempraktikkan teknik yang sama. Cuma, ibu kepada tiga anak itu akan memastikan kuah laksa dimasak dengan sempurna dan pekat.
Sementara itu, sebelum memasak, kesemua bahan mentah akan dicuci bersih. Ikan-ikan segar pula direndam dalam air perahan limau nipis yang dicampur bersama asam jawa bagi menghilangkan bau hanyir.
"Saya cukup menitikberatkan aspek kebersihan kerana ini merupakan perniagaan makanan. Sebab itu, saya sentiasa mengingatkan para pekerja menjaga kebersihan di kawasan memasak dan gerai seperti menyarungkan uniform dan apron.
"Lazimnya menjelang pukul 4 petang, laksa habis dijual. Seronok melihat pelanggan gembira dan berpuas hati menikmati hidangan di Laksa Ikan Sekoq," ujarnya yang memulakan perniagaan pada pukul 11.30 pagi pada hari Isnin hingga Sabtu.
Laksa utara
SIGNATUR Laksa Ikan Sekoq terletak pada ikan kembung tambahan dalam setiap hidangan laksa.


Sementara itu, penggemar laksa, Khairil Sarip, 28, mengakui sebelum ini dia jarang menikmati laksa utara memandangkan dia dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor. Namun segala-galanya berubah selepas Kharil bertugas di Alor Setar.
Disebabkan kebanyakan masanya dihabiskan di Kedah, maka secara tidak langsung mendorong Khairil untuk mencuba masakan Utara.
"Pertama kali menikmati Laksa Ikan Sekoq ini, saya sudah terpikat. Ia antara laksa utara paling sedap yang pernah saya makan sehingga ada saja masa terluang saya mencuri peluang singgah ke gerai ini.
"Selain itu, saya sukapada layanan dan servis yang cekap serta staf yang ramah. Pemilik gerai jarang membiarkan pelanggan menunggu makanan dalam tempoh yang lama," terang Khairil.
Menyentuh mengenai lokasi gerai Laksa Ikan Sekoq, pelanggan setia, Mohd. Erie Husairrie Ismail, 28, atau mesra disapa Erie menyifatkan ia terletak di kawasan yang mudah dicari khususnya untuk pelanggan baharu.
"Walaupun gerai ini terletak di tepi jalan tetapi persekitarannya tidak sibuk kerana ia tidak terletak di jalan raya utama. Saya suka makan di gerai ini kerana suasananya tenang dan redup dek dikelilingi pokok-pokok hijau.
"Saya gemar ke gerai laksa ikan sekoq kerana kuah laksanya yang pekat dan sarat dengan isi ikan. Adunan bahan-bahannya sebati apatah lagi dicampur bersama limau kasturi, timun, bawang dan telur rebus," kata Erie yang bertugas di Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ketika ditemui selepas menjamu sepinggan Laksa Ikan Sekoq.

HASNAH sentiasa memastikan kualiti kuah laksa dan ikan kembung rebus dikekalkan.


Menu sampingan
Bagi Khairul Izuwan Adnan, 26, selain ikan kembung tambahan keistimewaan gerai Laksa Ikan Sekoq terletak pada menu sampingannya yang pelbagai.
Ia terdiri daripada air batu campur, cendol biasa, cendol pulut, rojak buah dan jagung bakar. Bicara pegawai polis yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu, setiap kali mengunjungi gerai Laksa Ikan Sekoq, dia tidak melepaskan peluang untuk menikmati pemanis mulut cendol pulut.
"Ia kombinasi yang sangat ideal menjamu selera laksa bersama cendol. Lebih-lebih lagi ketika cuaca panas terik. Boleh dikatakan empat kali seminggu saya akan makan tengah hari bersama rakan-rakan," kata Khairul Izuwan yang turut menggemari rojak buah.

Sumber : Kosmo Online
BIASA PI DOK KAT GERAI TU DENGAN ZAHRUL DAN SHAHRUL, DEPA KATA SEDAP LAKSA DISITU

Bayaran Tunggakan Pelarasan Gaji SSM diterima Mac atau April


Penjawat awam terima bayaran tunggakan Mac atau April

PUTRAJAYA 8 Mac – Para penjawat awam seluruh negara dijangka menerima bayaran tunggakan gaji pada bulan ini atau bulan depan berikutan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengembalian kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, bayaran tunggakan berasaskan gaji pokok terkini itu akan dikira mulai 1 Januari 2012.

“Cara pembayaran tunggakan iaitu sama ada sekali gus atau berperingkat-peringkat, bagaimanapun perlu ditentukan oleh bahagian sumber manusia agensi masing-masing.

“Ini kerana gaji tersebut perlu dikira semula, tetapi bagus juga kalau ia dibayar sekali gus,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Dalam perhimpunan tersebut, Najib mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana serta pelarasan antara tujuh peratus hingga sembilan peratus untuk kumpulan lain.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Gaji SBPA Dibatalkan. SSM dikekalkan dan ditambah baik


Pelarasan gaji SSM turut dinikmati penjawat awam di tangga gaji maksima: CUEPACS

KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). 

"Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Najib hari ini mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred.
Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan saja membabitkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara. 

Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak. 

"Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak," katanya. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Khairil Niza Khairuddin yang menyambut baik pelarasan gaji itu bagaimanapun mahu kerajaan bertindak mengawal kenaikan harga barang di pasaran supaya tidak menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam. 

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata pembatalan SBPA adalah bukti kerajaan mengiktiraf dan memahami beban rakyat terutamanya penjawat awam. 

"Sistem negara moden memperuntukkan kerajaan perlu mengambil kira dan pandangan dari pihak peniaga mahupun masyarakat sivil dan pembatalan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri kita telah mengotakan janjinya sebelum ini," katanya. 

Anggota tentera, Saiful Azmie Mohammed, 35, yang bakal menerima kenaikan gaji 13 peratus berkata pembatalan SBPA adalah satu tindakan yang wajar. 

"Anggota beruniform seperti saya yang berada dalam kumpulan antara gred 42 hingga 44 tidak ada bantahan dengan pembatalan dan kenaikan gaji," katanya. 

Seorang guru, Mohd Sanusi Ismail, 46, berkata penjawat awam perlu bersyukur dengan kenaikan tersebut dan tidak patut mengeluh mahukan gaji yang lebih tinggi daripada kerajaan. 

"Jumlah kenaikan sudah diputuskan, saya tidak kisah kerana bagi saya mudah, jika kewangan kerajaan mampu dan ada bajet lebih, sudah pasti rakyat dan penjawat awam orang pertama yang akan menerimanya," katanya. 

Pensyarah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Zariyawati Shaari, 32, berkata pembatalan SBPA mempunyai kebaikan dan keburukan. 

"Saya menerima kenaikan 13 peratus, namun masih terlalu awal untuk menilai dan terdapat beberapa isu yang masih tidak jelas mengenai pembatalannya. 

"Saya harap apa-apa pelaksanaan yang kerajaan lakukan perlu ambil kira semua perkara dan gaji golongan tertentu berpatutan dengan kerja dan kelayakan mereka," kata Zariyawati. 

Penolong Pentadbir Tanah, Ahmad Fayadh Abdul Manap, 26, pula kecewa dengan pembatalan SBPA. 

"Saya rasa SBPA ini memberi satu fasa baru kepada penjawat awam secara keseluruhannya. Sepatutnya SBPA yang perlu ditambah baik bukan SSM yang dikekalkan. 

"Perlu diingatkan bahawa mereka yang mendapat kenaikan gaji berdasarkan skim SBPA adalah pegawai kerajaan yang mempunyai kelayakan akademik setimpal," katanya. 

Beliau berkata kenaikan gaji pegawai kerajaan melalui skim SBPA secara tidak langsung boleh membantu mereka untuk membayar balik pinjaman pendidikan ketika menuntut di institut pengajian tinggi sebelum ini. 

Kakitangan Majlis Perbandaran Bentong, A Kalaichalvi, 32, berkata beliau berpuas hati dengan pengumuman hari ini kerana jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan nasib kakitangan awam terutamanya golongan bawahan. 

"Saya yakin dan percaya pengumuman itu akan membangkitkan lagi semangat penjawat awam untuk terus bekerja dengan gigih bagi memastikan tahap dan pencapaian sentiasa berada di landasan betul," katanya. - BERNAMA


Sumber : Berita Harian Online