Tuesday, May 04, 2010

Subkhiddin Dalam Senarai Pendek Pengadil Ke Afrika Selatan

SUBANG JAYA - Sah! Nama Subkhiddin Mohd. Salleh ditempatkan dalam senarai pendek lima pengadil dan pembantu pengadil dari Asia dan Oceania untuk menunaikan tugas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu pada pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan, bulan depan.


Guru berusia 44 tahun dari Pulau Pinang itu kini hanya perlu menanti kata putus FIFA, tidak lama lagi selepas dikhabarkan berjaya melepasi had kelayakan dalam ujian kecergasan Program Bantuan Pengadilan (RAP) Gabungan Bola Sepak Asia dan Oceania (AFC dan OFC), semalam.


Pegawai Pembangunan Pengadilan Pejabat Pembangunan FIFA Kuala Lumpur, Azimi Abdullah berkata, peluang Subkhiddin menebus kehampaan terlepas ke Piala Dunia Jerman 2006, semakin cerah setelah menyertai senarai pendek lima pegawai perlawanan AFC-OFC itu.


Kemasukan ke senarai pendek itu bererti pengadil berkenaan semakin menghampiri jejak Halim Abdul Hamid dan Mat Lazim Awang Hamad yang berpengalaman sebagai pembantu pengadil Piala Dunia Perancis 1998 dan Korea Selatan-Jepun 2002.


"Ujian kecergasan di Stadium Shah Alam hanya mengesahkan kelayakan lima orang dalam senarai pendek itu di samping beberapa lagi calon simpanan tetapi cuma FIFA yang boleh memuktamadkan siapa yang akan ke Afrika Selatan, Jun ini," katanya.


Azimi ditemui selepas menziarahi kubur Pengajar Pengadil FIFA dari Malaysia, Allahyarham Mohd. Nazri Abdullah di Tanah Perkuburan USJ 22 Subang Jaya, semalam dengan lebih 30 pengadil peserta dan pengajar RAP yang turut mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Shah Alam, sehari sebelumnya.


Antara yang turut hadir ialah Shamsul Maidin dari Singapura, bekas pengadil di Jerman, empat tahun lalu di samping rakan rapat Allahyarham seperti Pengajar Teknikal dan Psikologi Pengadil FIFA, Esse Bahamast (Amerika Syarikat) dan Manuel Lopez (Sepanyol) selain Pengajar Fizikal RAP FIFA dari Jepun, Toshio Utsumi.


Allahyarham Mohd. Nazri yang berasal dari Kulim, Kedah, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 3 Februari 2009 di Las Palmas, Kepulauan Canary, Sepanyol, juga merupakan bekas pengarah Jabatan Pengadil AFC dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain mendapat lencana FIFA pada 1989.

Sumber : Utusan Malaysia Online

AKU BERBANGGA WALAUPUN PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA TAK LAYAK KE PIALA DUNIA...
ADA JUGA PENGADIL DARI MALAYSIA BAKAL MENGADILI PERLAWANAN BOLA SEPAK DUNIA.....
SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SUBKHIDDIN...

 

Orang Hilang : Nur Aqilah Pulanglah!

 Maria bersama Michael Chong menunjukkan gambar Tengku Puteri Nur Aqilah.


KUALA LUMPUR 3 Mei - Angkara terpengaruh dengan rakan, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dicari oleh ibunya setelah menghilangkan diri dari rumah sejak setahun lalu.


Tengku Puteri Nur Aqilah Tengku Kamarudin dikatakan melarikan diri bersama seorang rakan perempuan ketika di rumah ibu saudaranya di Pandan Indah, 30 April tahun lalu.


Namun, selepas setahun laporan polis dibuat, remaja terbabit masih gagal dikesan sehingga menyebabkan ibunya, Maria Wati Abdul Wahab, 43, terpaksa sekali lagi membuat sidang akhbar berhubung kehilangan anak tunggalnya itu.


Ini merupakan kali kedua Tengku Puteri Nur Aqilah melarikan diri dari rumah keluarganya.


Pada April tahun 2005 lalu, gadis itu pernah melarikan diri bersama teman perempuannya.


Menurut Maria Wati, sejak bercampur dengan kumpulan remaja liar, anaknya lebih gemar menghabiskan masa bersama rakan-rakannya berbanding bersama keluarga.


"Saya percaya keputusan saya untuk mendirikan rumahtangga semula selepas gagal dalam perkahwinan bersama bapa kandungnya antara punca perubahan sikap Nur Aqilah,'' katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini, hari ini.


Sehubungan itu, dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya agar segera menghubunginya di talian 016-2738458.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, terdapat 10 kes remaja berusia antara 13 tahun hingga 20 tahun hilang sejak awal tahun ini.


"Kebanyakan kes yang dilaporkan berpunca daripada pengaruh rakan-rakan yang mahukan kebebasan, mengikut teman lelaki atau kerana wujud salah faham dengan keluarga,'' katanya.

 Sumber : Utusan Malaysia Online



MAKIN RAMAI REMAJA SEKARANG NI LARI DARI RUMAH....
APA FAEDAH KORANG DAPAT DARIPADA TINDAKAN TERSEBUT ?
KALAU ADA MASALAH, BERBINCANGLAH DENGAN KELUARGA.....
INI TAK, MESYUSAHKAN KELUARGA SAHAJA.....

SIAPA JUMPA NUR AQILAH, HUBUNGI 016-2738458.