Tuesday, May 04, 2010

Subkhiddin Dalam Senarai Pendek Pengadil Ke Afrika Selatan

SUBANG JAYA - Sah! Nama Subkhiddin Mohd. Salleh ditempatkan dalam senarai pendek lima pengadil dan pembantu pengadil dari Asia dan Oceania untuk menunaikan tugas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu pada pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan, bulan depan.


Guru berusia 44 tahun dari Pulau Pinang itu kini hanya perlu menanti kata putus FIFA, tidak lama lagi selepas dikhabarkan berjaya melepasi had kelayakan dalam ujian kecergasan Program Bantuan Pengadilan (RAP) Gabungan Bola Sepak Asia dan Oceania (AFC dan OFC), semalam.


Pegawai Pembangunan Pengadilan Pejabat Pembangunan FIFA Kuala Lumpur, Azimi Abdullah berkata, peluang Subkhiddin menebus kehampaan terlepas ke Piala Dunia Jerman 2006, semakin cerah setelah menyertai senarai pendek lima pegawai perlawanan AFC-OFC itu.


Kemasukan ke senarai pendek itu bererti pengadil berkenaan semakin menghampiri jejak Halim Abdul Hamid dan Mat Lazim Awang Hamad yang berpengalaman sebagai pembantu pengadil Piala Dunia Perancis 1998 dan Korea Selatan-Jepun 2002.


"Ujian kecergasan di Stadium Shah Alam hanya mengesahkan kelayakan lima orang dalam senarai pendek itu di samping beberapa lagi calon simpanan tetapi cuma FIFA yang boleh memuktamadkan siapa yang akan ke Afrika Selatan, Jun ini," katanya.


Azimi ditemui selepas menziarahi kubur Pengajar Pengadil FIFA dari Malaysia, Allahyarham Mohd. Nazri Abdullah di Tanah Perkuburan USJ 22 Subang Jaya, semalam dengan lebih 30 pengadil peserta dan pengajar RAP yang turut mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Shah Alam, sehari sebelumnya.


Antara yang turut hadir ialah Shamsul Maidin dari Singapura, bekas pengadil di Jerman, empat tahun lalu di samping rakan rapat Allahyarham seperti Pengajar Teknikal dan Psikologi Pengadil FIFA, Esse Bahamast (Amerika Syarikat) dan Manuel Lopez (Sepanyol) selain Pengajar Fizikal RAP FIFA dari Jepun, Toshio Utsumi.


Allahyarham Mohd. Nazri yang berasal dari Kulim, Kedah, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 3 Februari 2009 di Las Palmas, Kepulauan Canary, Sepanyol, juga merupakan bekas pengarah Jabatan Pengadil AFC dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain mendapat lencana FIFA pada 1989.

Sumber : Utusan Malaysia Online

AKU BERBANGGA WALAUPUN PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA TAK LAYAK KE PIALA DUNIA...
ADA JUGA PENGADIL DARI MALAYSIA BAKAL MENGADILI PERLAWANAN BOLA SEPAK DUNIA.....
SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SUBKHIDDIN...

 

No comments: