Wednesday, December 08, 2010

Bakteria E-COLI : Usah bimbang laporan Tasik Kenyir tercemar


KUALA TERENGGANU: Bakteria e-coli dari si-sa kumbahan dan air buangan yang menyebabkan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu tercemar, adalah mikro organisma yang biasa ditemui di tasik serta sungai dan kesannya kepada kesihatan manusia perlu ditentukan melalui kajian yang lebih spesifik ke arah itu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, berkata orang ramai tidak perlu bimbang atau panik mengenai laporan Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli kerana tahap pencemarannya sama ada serius atau sebaliknya, masih belum dikenal pasti.

"Kita tidak tahu tahap pencemaran e-coli di Tasik Kenyir seperti hasil kajian yang dilaporkan itu dan perlu meneliti laporan berkenaan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Jadi, saya tidak dapat memberi komen lanjut kerana kajian berkenaan bukan dijalankan jabatan kerajaan, sebaliknya pihak lain yang perlu diteliti terlebih dulu," katanya.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Faizah Shahrom yang mengetuai kajian mengenai pencemaran e- coli di Tasik Kenyir, berkata tumpuan kajian berkenaan lebih terarah kepada kesan bakteria berkenaan terhadap hidupan akuakultur dan bukan manusia.

“Contohnya, hasil kajian yang kita peroleh menunjukkan bakteria e-coli memberi kesan negatif kepada populasi ikan di Tasik Kenyir. Sebenarnya, kajian ini dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh sebulan lagi, tetapi kita tahu bakteria ini datang daripada sisa kumbahan dan air buangan.

“Usaha mengatasi masalah ini sangat dialu-alukan bagi memastikan kualiti air Tasik Kenyir berada pada tahap terbaik, supaya hi-dupan akuatik dan ekosistemnya tidak terjejas,” katanya.
Dr Faizah berkata, langkah kerajaan negeri menyediakan tandas sistematik kepada 37 rumah bot sedia ada di tasik itu bagi mengatasi pencemaran e-coli, wajar dicontohi.

Berita Harian semalam melaporkan, kerajaan negeri mengesahkan air Tasik Kenyir dicemari bakteria e- coli dan berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot.

Sementara itu, beberapa ahli Persatuan Pengusaha Bot Pelancong Tasik Kenyir (KELABA) yang ditemui semalam memberitahu, tangki takungan buangan yang disediakan kerajaan negeri hanya berkapasiti 200 liter dan dijangka penuh dalam masa setengah hari saja, sedangkan kebiasaannya pelancong menyewa bot antara tiga hingga empat hari.

Seorang pengusaha rumah bot, Zalani Endut, 42, langkah kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera RM103,000 untuk pemasangan tandas dan sistem kumbahan lebih moden bagi mengatasi masalah pencemaran di tasik itu disambut baik, tetapi ia dilihat tidak praktikal untuk jangka panjang kerana kapasiti takungannya yang kecil. 

Sumber : Berita Harian Online
DARIMANA DAPAT NAMA BAKTERIA E-COLI ?

No comments: