Shaziman Abu Mansor mengibarkan bendera semasa melancarkan Kempen Keselamatan
Lebuh Raya peringkat Kementerian Kerja Raya di Tol Kajang-Semenyih, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 8 Feb. - Sebanyak 17 lebuh raya menawarkan laluan tol percuma dan diskaun kepada pengguna sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Ahad dan Isnin ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, tawaran itu disertai buat julung kalinya oleh semua lebuh raya terlibat pada musim perayaan berbanding sebelum ini yang hanya disertai oleh beberapa lebuh raya sahaja.
Menurutnya, dua lebuh raya iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 1) tidak akan mengenakan sebarang bayaran tol pada 11 Februari dan 15 Februari dari pukul 11.30 malam hingga 4.30 pagi.
"PLUS Expressways yang mengendalikan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menawarkan diskaun tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna bermula 12 tengah malam hingga 7 pagi dari 10 hingga 19 Februari," katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2010 peringkat Kementerian Kerja Raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat sini hari ini.
Sebelum ini, tol percuma dan diskaun hanya diberikan oleh Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT)(Fasa 1), Lebuh Raya Utara-Selatan dan Elite pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Shaziman memberitahu, sebanyak 15 lebuh raya lagi yang baru menyertai program itu pula menawarkan diskaun tol antara lima peratus hingga 20 peratus pada 14 Februari.
Katanya, 10 lebuh raya menawarkan diskaun tol pada 14 Februari bermula dari pukul 12.01 tengah malam hingga 12 tengah hari.
Menurut beliau, lebuh raya terbabit adalah Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya SMART.
Lebuh raya lain adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuh Raya Shah Alam-Kuang, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang.
"Lebuh Raya Cheras-Kajang dan Lebuh Raya Shah Alam pula menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada kenderaan kelas 1 yang membayar menggunakan Touch 'n Go dan Smart Tag bermula 6 pagi 14 Februari hingga 6 pagi 15 Februari," katanya.
Shaziman berkata, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua syarikat konsesi yang memenuhi tanggungjawab korporat kepada pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina.
Kata beliau, pemberian tol percuma dan diskaun perlu diteruskan pada musim-musim perayaan akan datang termasuk cuti Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.
"Ini adalah 'wang angpau' untuk semua pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina dan melalui insentif ini, diharap rakyat Malaysia akan terus menyemarakkan lagi semangat serta integrasi 1Malaysia," katanya.
Mengenai kempen keselamatan lebuh raya yang dilancarkan, Shaziman berkata, kementerian menyasarkan untuk mengenal pasti 30 kawasan 'hitam' yang sering berlaku kemalangan tahun ini bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan di kawasan berkenaan.
Jelas beliau, antara April hingga Disember tahun lepas, kementerian menjalankan kerja pembaikan di 10 kawasan hitam yang dikenal pasti membabitkan kos antara RM200,000 hingga RM10 juta bagi setiap lokasi.
"Kerajaan mampu untuk mengadakan infrastruktur jalan yang terbaik, tetapi jika pemandu tidak mengamalkan pemanduan yang berhemah dan beretika, maka usaha kerajaan serta kempen-kempen keselamatan tidak akan berkesan," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
PERCUMA.. PERCUMA.. DISKAUN... DISKAUN....
JANGAN TUNGGU LAGI.. PENUHI LEBUHRAYA YANG TERPILIH....
No comments:
Post a Comment