Thursday, December 31, 2009

Skuad Malaysia Tutup Tirai 2009 Penuh Bergaya




MASIH segar dengan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini, skuad bola sepak negara menutup tirai 2009 dengan noktah kejayaan.

Malam tadi, skuad kendalian K. Rajagobal itu mudah membenam Syria 4-1 pada aksi persahabatan yang dicemari mutu pengadilan teruk di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malaysia jelas begitu bersemangat beraksi di hadapan 3,000 penonton apabila lebih banyak menguasai permainan berbanding Syria yang berkedudukan ranking ke-91 dunia.

Seawal minit kedua, Zaquan Adha Radzak mempersia-siakan peluang terbuka di depan pintu gol apabila sekadar menyepak sipi setelah menerima hantaran leret daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Pada minit ke-15, gawang Syria berjaya dibolosi Zaquan tetapi gol itu dibatalkan selepas penjaga garisan mendapati bola hantaran Norshahrul telah pun keluar dari kawasan permainan.

Malaysia sekali lagi memperoleh peluang keemasan pada minit ke-20, kali ini hantaran lintang Safiq Rahim dari sebelah kanan yang ditanduk cantik Ahmad Fakri Saarani berjaya ditepis penjaga gol Syria.

Gol pertama Malaysia akhirnya menjelma pada minit ke-31 apabila Safiq dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti setelah Norshahrul dijatuhkan pertahanan Syria.

Babak kedua bermula, Rajagobal hanya membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Aidil Zafuan Radzak dan Mazlizam Mohamad bagi menggantikan Muslim Ahmad dan Nasriq Baharom.

Gol kedua Malaysia menyusul pada minit ke-63 apabila Safiq sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan penalti yang diberi pengadil setelah Norshahrul diterjah pertahanan Syria.


FAKRI (depan) diasak pemain pertahanan Syria pada aksi persahabatan
di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


Syria bagaimanapun berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-68 apabila dihadiahkan sepakan penalti kontroversi setelah pemain Malaysia dikatakan menolak seorang pemain Syria ketika sepakan sudut diambil.

Malaysia tidak tersentak dengan jaringan itu, sebaliknya terus garang dengan memperoleh gol ketiga pada minit ke-77 menerusi Zaquan yang merembat kencang hantaran Abdul Manaf Mamat.

Seminit kemudian, Malaysia terpaksa beraksi 10 pemain setelah Zaquan dilayangkan kad kuning kedua kerana dianggap pengadil sengaja melengah-lengahkan perlawanan ketika dia hendak ditukarkan dengan Ahmad Shakir Md. Ali.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang usaha Malaysia untuk menambah jaringan apabila memperoleh gol keempat pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, K. Gurusamy.

Mengulas mengenai kejayaan anak-anak buahnya semalam, Rajagobal berkata: "Nampaknya kita berada di landasan terbaik untuk menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2011 menentang UAE di Dubai pada 6 Januari depan.

"Kadang kala pasukan kuat pun boleh tewas tetapi saya gembira dengan kemenangan ini.

"Saya bangga dengan persembahan para pemain. Bukan senang kita nak bolosi pasukan kuat dengan empat gol. Harap kita dapat terus kekal fokus dan konsisten.

"Mungkin Syria pandang rendah pasukan kita. Tapi kita lihat mereka mula mengasak pada babak kedua.

Tentang pengadil, saya tak mahu komen, anda sendiri yang boleh menilainya," kata Rajagobal.

Sumber : Kosmo Online

TAHNIAH PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA..
TERUSKAN KEGEMILANGAN UNTUK BERADA DI PUNCAK

No comments: