Sunday, March 21, 2010

Fazli Sham Tawan Alor Setar



ALOR SETAR - Pelumba Shell Advance Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham melakar sejarah sebagai pemenang pertama kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Stadium Darul Aman Alor Setar, Kedah semalam.

Pengalaman nyata memihak pelumba dari Taiping itu, apabila mengungguli perlumbaan dalam masa 12 minit 03.259 saat.

Dia muncul juara selepas menafikan saingan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah, yang ketinggalan hanya 0.228s,

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha AHM, Md. Zambri Baba, ketiga.

Fazli, yang bermula dari petak pertama, mengekalkan kedudukan pendahulu, walaupun dicabar sengit oleh Hafizh di sepanjang 15 pusingan perlumbaan.

"Saya cuba mengelak asakan pelumba lain, tanpa menyedari siapa yang cuba memintas saya, namun sukar untuk saya menjarakkan kedudukan.

"Pada empat pusingan pertama, saya menggunakan pengalaman dan kekuatan kekuatan jentera untuk kekal di depan.

''Saya gembira kerana memenangi saingan pertama CP130 ini," kata Fazli.

Sementara itu, juara Novis musim lepas, Hafizh mengakui sukar memintas Fazli.

"Keadaan litar yang sempit menyebabkan saya sukar memintasnya. Namun, kedudukan kedua sudah cukup baik buat saya,'' katanya.

Fazli kini mendahului dengan 25 mata, diikuti Hafizh 20 mata dan Zamri 16 mata.

Sumber : Utusan Malaysia Online
TAHNIAH KEPADA PEMENANG... YANG LAIN CUBA LAGI..

No comments: