“Selepas itu, ibu menyimbah petrol ke badan dan menyalakan api dari lilin ke badannya. Saya segera menepis tangan ibu menyebabkan lilin jatuh ke tanah serta terpadam,” kata Mohd Shahrul Aidil Marzuki, 11, anak keempat Rosiana Rosli, 36, yang melecur teruk selepas cuba membakar diri sendiri di sini, semalam.
Mohd Shahrul yang kebetulan tidur di rumah bapa saudaranya yang terletak bersebelahan rumah neneknya berkata, ibunya tidak puas hati dengan tindakannya, lalu meluru masuk ke rumah bapa saudaranya dan mengambil sebotol minyak petrol bersama api lilin.
Bagaimanapun, dia sempat menjerit ke arah bapa saudaranya mengunci pintu untuk menghalang ibunya menyalakan sekali lagi lilin di dapur, namun terlewat apabila ibunya berjaya menyalakan lilin sambil mengugut mahu membakar dia dan ayah jika mereka cuba menghampirinya.
“Kalau kakak tidak degil dan menyembunyikan diri ke rumah nenek, ibu pasti tak akan jadi macam ni,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian yang menimpa ibunya.
Sementara itu, seorang penduduk yang kebetulan melihat kejadian itu mendakwa melihat pertengkaran antara mangsa dengan anaknya sebelum mangsa bertindak membakar dirinya kira-kira jam 12 tengah malam.
“Saya bersama rakan-rakan menggunakan baju kami untuk memadamkan api dan terkejut melihat separuh badan mangsa terbakar teruk selepas api berjaya dipadamkan penduduk kampung,” katanya yang enggan dikenali.
Anak sulung mangsa, Nurul Shahida, 17, berkata beberapa hari sebelum kejadian, ibunya ada menampar adik yang sering menjadi perbualan penduduk kampung kerana tidak ke sekolah menyebabkan adiknya bertindak melarikan diri ke rumah nenek selang lima rumah dari rumahnya.
“Sekarang saya terpaksa menjaga adik sementara menunggu ibu keluar dari hospital sedangkan ayah pula tidak tahu bagaimana nasibnya kerana jika dua hari tidak pergi kerja pasti akan diberhentikan,” katanya.
Ibu mangsa, Hasnah Omar yang menghidap penyakit darah tinggi terkejut apabila melihat anaknya berguling-guling di atas tanah ketika api marak membakar badannya.
Sumber : Harian Metro Online
KALAU MARAH KAT ANAK PUN, JANGAN SAMPAI BAKAR DIRI..
No comments:
Post a Comment