Wednesday, June 02, 2010

Rombakan Kabinet : Tee Keat digugurkan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan daripada barisan Kabinet dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri semalam, manakala anak Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkuat kuasa Jumaat ini.

Tempat Tee Keat digantikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Datuk Wira Chor Chee Heung yang memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dinaikkan pangkat mengisi tempat Cho Ha. Anak Soi Lek, Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis dilantik menggantikan Datuk Rohani Abdul Karim yang menyandang jawatan baru sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.


Rombakan berkenaan turut menyaksikan pelantikan Jelaing anak Mersat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan (sebelum ini Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (sebelum ini Timbalan Menteri Luar).


Senator Heng Seai Kie dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menggantikan Datin Paduka Chew Mei Fun yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita MCA dan jawatan dalam kerajaan selepas Perhimpunan Agung Khas MCA, baru-baru ini.


Senator Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, manakala Ahli Parlimen Serian, Datuk Richard Riot anak Jaem dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.


Turut dilantik Senator Datuk Donald Lim Siang Chai sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz sebagai Timbalan Menteri, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Senator Gan Ping Shou dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.


Pelantikan Siang Cai, Maglin, Ping Shou sebagai senator berkuatkuasa semalam dan mereka dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat.


Pelantikan menteri dan timbalan menteri serta pengguguran Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan dan Datuk Wee Jeck Seng sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan diperkenankan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan berkuat kuasa 4 Jun ini. 

Sumber : Harian Metro Online
SELAMAT BERTUGAS...

No comments: