Wednesday, June 02, 2010

Wartawan, Jurukamera Astro Selamat

KUALA LUMPUR 1 Jun - Dua kakitangan Astro Awani, Ashwad Ismail, 26, (wartawan) dan Samsul Kamal Abdul Latip, 43, (jurukamera) dilaporkan berada dalam keadaan selamat ketika ini.

Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah mengesahkan kedua-dua kakitangan Astro tersebut berada dalam keadaan selamat walaupun kapal mereka diserang oleh tentera rejim Zionis, semalam.

"Kami telah menerima pengesahan yang semua 12 rakyat Malaysia termasuk krew berita kami yang menaiki kapal Mavi Marmara berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan walaupun telah dikepung Israel pada pagi Isnin (semalam).

"Kami sangat gembira dengan perkembangan terbaru ini," kata Rozina dalam kenyataan di sini malam ini.

Menurut Rozina, Ashwad dan Samsul Kamal meninggalkan Kuala Lumpur sejak 23 Mei lalu bagi menyertai misi kemanusiaan Lifeline untuk Gaza (LL4G) yang menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Katanya, usaha untuk menghubungi kapal tersebut dilakukan sebaik sahaja berita mengenai serangan tersebut dilaporkan oleh media antarabangsa tetapi gagal.

"Sentuhan terakhir mereka dengan Astro Awani ialah visual berita yang dihantar menunjukkan rakaman ketika mereka menaiki kapal.

"Sekarang kami tahu mereka berdua selamat dan kami akan terus menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui perkembangan mereka dan membawa mereka pulang," katanya.

"Kami juga terus berhubungan dengan ahli-ahli keluarga Ashwad dan Samsul Kamal untuk memaklumkan sebarang perkembangan,'' katanya.

Tentera Israel semalam bertindak melampaui batas apabila menyerang sebuah daripada sembilan kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza anjuran kumpulan pro-Palestin dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Turki.

Serangan itu menyebabkan 19 aktivis dilaporkan terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Sumber : Utusan Malaysia Online
ALHAMDULILAH, RAKYAT MALAYSIA SELAMAT....

No comments: