Saturday, January 16, 2010

Lagi Kes Buang Bapa



KANGAR: Zaman mudanya dia disayangi isteri dan anak-anak. Namun, nasibnya berbeza ketika mencecah usia emas, apatah lagi selepas menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak lima tahun lalu.

Ia kes kedua bapa dibuang anak di Perlis selepas nasib sama dialami Abdul Rahman Talib, 57, yang ditinggalkan anak kandungnya di tepi jalan dekat pondok bas, 8 Januari lalu. Othman yang pernah beristeri tiga sekali gus dan memiliki empat cahaya mata mendakwa perubahan sikap anaknya semakin ketara sejak dia perlu menjalani rawatan hemodialisis dua hari sekali.


Kemuncaknya berlaku kelmarin apabila anak lelakinya berusia 20-an hasil perkahwinan dengan isteri pertama yang kini sudah meninggal dunia tidak menjemputnya seperti biasa sehingga dia terpaksa dibawa ke Balai Polis Kangar, kira-kira jam 7 malam untuk mendapatkan bantuan.


“Sejak menghidap penyakit buah pinggang lima tahun lalu dan terpaksa menjalani rawatan dua hari sekali di pusat hemodialisis, anak-anak mula menjauhkan diri, malah ada yang menyatakan penyakit saya menyusahkan mereka.


“Kini baru saya faham mengapa sebelum ini anak selalu lewat mengambil saya sehingga ada ketika terpaksa menunggu berjam-jam di depan pintu pusat ini,” katanya.


Othman berkata, perubahan sikap anak-anaknya makin ketara apabila dia perlu menjalani rawatan dua hari sekali di pusat hemodialisis berkenaan menyebabkannya terpaksa berulang-alik dari rumah di Kampung Guar Pehor, Mukim Keplu, Kodiang, Kedah, sejauh hampir 30 kilometer.


Kebiasaannya, dia ke pusat hemodialisis itu dengan membonceng motosikal ditunggangi anak lelakinya yang menetap di Kodiang. Isteri pertamanya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak manakala isteri kedua dan ketiga sudah diceraikan.


Wanita berusia 40-an dan 50-an itu masih hidup dengan masing-masing mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup dengan Othman.


Dalam kejadian kelmarin, anak lelakinya itu tidak mengambilnya seperti biasa menyebabkan seorang kakitangan pusat hemodialisis itu membawanya ke balai polis untuk mendapatkan bantuan.


“Biasanya anak lelaki saya akan datang jemput saya pulang ke rumah apabila dihubungi kakitangan pusat itu selepas selesai proses rawatan, namun semalam (kelmarin) dia tak datang.


“Sebelum ini, setiap kali datang ke pusat ini, saya berasa was-was sama ada akan ditinggalkan atau tidak kerana mereka selalu lewat mengambil saya dan kini ia menjadi kenyataan,” katanya.


Othman mendakwa, sejak sakit dia sering diabaikan anak-anak termasuk soal makan minum ketika menetap bersama mereka. Dia mendakwa ada ketika seluruh anggotanya lemah dan pucat kerana lewat dihantar menjalani rawatan.


“Empat anak saya berusia antara 20-an hingga 30-an. Anak bekas isteri ketiga sudah berkahwin manakala dua lagi masih bujang iaitu anak isteri pertama, manakala seorang lagi anak daripada isteri kedua sudah lama tidak jumpa.


“Anak saya beberapa kali pernah kata tak mahu menjaga saya kerana susah berikutan penyakit buah pinggang saya perlu dirawat selalu.


“Jika anak tak mahu jaga saya lagi, saya tak kisah biar saya menghuni di sini (Rumah Penyayang Jejawi) sampai ke akhir hayat, malah saya rasa hidup di sini lebih sempurna,” katanya.


Othman kini ditempatkan di Rumah Penyayang Jejawi, Perlis selepas tiada tempat untuk berteduh.


Sementara itu, seorang pekerja pusat hemodialisis itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia menghubungi anak lelaki Othman supaya menjemput bapanya berikutan pusat terbabit sudah ditutup tetapi pemuda itu enggan berbuat demikian.


“Saya terkejut apabila anaknya minta saya biarkan orang tua berkenaan di depan pintu pusat ini yang sudah ditutup kira-kira jam 5 petang. Selepas dua jam menunggu, anak terbabit masih enggan mengambil bapanya.


“Saya bertindak menghubungi balai polis sebelum menelefon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut dan dia kemudian dibawa ke pusat perlindungan berkenaan,” katanya. Kes Othman hampir sama dengan laporan Harian Metro Selasa lalu mengenai tindakan seorang anak meninggalkan bapa kandung sendiri yang baru menjalani pembedahan jantung bersama bungkusan pakaian di pondok bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad, di sini.


Kejadian menyedihkan itu berlaku pada petang 8 Januari sejurus Abdul Rahman Talib, 57, keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan jantung, menjejakkan kaki di rumah anak lelakinya.


Kakitangan pusat hemodialisis itu berkata, warga emas berkenaan ada memberitahu dia menghadapi masalah rumah tangga dan meminta dihantar ke pusat perlindungan orang tua kerana sudah mengetahui tiada orang mengambilnya pulang.


Begitupun, katanya, pembiayaan rawatan hemodialisis Othman ditanggung seorang lagi anak perempuannya yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Perlis.


Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa, berkata warga emas terbabit bukan daripada kalangan penduduk termiskin kerana mempunyai harta termasuk sawah dan rumah sendiri.

Sumber : Harian Metro Online

LAGI KES ANAK BUANG BAPA....
BARU KITA NAMPAK 2 DALAM SURAT KHABAR,,,
YANG LUAR DARI SURAT KHABAR, KITA TAK TAU BERAPA LAGI ADA,,,,
KEPADA YANG SUKA BUANG IBU BAPA MERATA-RATA TU...
INSAFLAH... AMBIL DAN JAGALAH IBUBAPA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA...
JANGAN MENDERHAKAI IBU BAPA KITA....
TAK SENANG DIDUNIA MAHUPUN DI AKHIRAT...
BALASAN PASTI ADA

No comments: