Thursday, November 11, 2010

Media Utama Dilarang Buat Liputan Sidang DUN Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan PAS Kedah hari ini memutuskan untuk melarang beberapa organisasi media arus perdana termasuk kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) untuk membuat liputan dalam Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini.

Kenyataan yang dihantar ke pejabat NSTP Biro Alor Setar di sini, hari ini hanya menyenaraikan beberapa organisasi media tertentu yang dibenarkan untuk membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari itu.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Helmi Mohamad Khalid, berkata tindakan itu dibuat berikutan putar belit dan berita biadap yang didakwa dilakukan pihak media terhadap Kerajaan PAS Kedah sejak kebelakangan ini.

"Maka dengan sukacitanya hanya akhbar yang tersenarai sahaja yang dijemput untuk membuat liputan Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Senarai media yang dibenarkan untuk membuat liputan ialah, Harakah, Sinar Harian, The Star, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, Sin Chew Daily, Kwong Wah Jit Poh, China Press, Nan Yang Siang Pau dan Guang Ming Daily.

Difahamkan, surat itu dihantar menerusi faksimili kepada Ketua Biro semua media cetak dan elektronik oleh Muhamad Helmi, tengahari ini. Salinan surat itu juga dipanjangkan kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dan Setiausaha DUN Kedah, Rashid Othman.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan ulasan Muhamad Helmi berhubung perkara berkenaan gagal selepas panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, melahirkan rasa kecewa dan marah dengan laporan media yang didakwa berat sebelah dalam melaporkan mengenai keadaan banjir di negeri ini.

Azizan berkata, media cuba memutarbelitkan isu banjir di negeri ini dengan menuduh kerajaan PAS Kedah lemah dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah.

Sidang media selepas mesyuarat Exco semalam menjadi "tegang" apabila Azizan bertikam lidah dengan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung laporan berkenaan.


Sumber : Berita Harian Online

SALAH SIAPA ?
SALAH KERAJAAN PAS KEDAH ATAU MEDIA ITU SENDIRI ?

No comments: