Thursday, January 07, 2010

Malaysia Tewas Tipis 0-1 Dengan UAE


TAK LEPAS...pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan) 
diasak pemain UAE, Ahmed Khalil di Dubai, semalam.  

JARINGAN saat akhir penyerang Ahmed Khalil Sebait Mubarak melenyapkan hasrat skuad bola sepak negara untuk menamatkan saingan kelayakan Piala Asia dengan nota kejayaan apabila kalah tipis 0-1 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al-Sahab, Dubai awal pagi tadi.

Keputusan itu juga menamatkan sisa-sisa perjuangan Malaysia untuk menempah tiket di pentas final di Qatar tahun depan, apabila gagal mengutip sebarang mata selepas tewas dalam empat perlawanan kelayakan dengan menduduki tempat ketiga di belakang pendahulu Uzbekistan sementara UAE di tangga kedua.

Bagaimanapun, keputusan yang diraih barisan K Rajagobal itu sekurang-kurangnya menunjukkan sedikit peningkatan jika dibandingkan pada perlawanan pertama Januari lalu di Stadium Bola Sepak Cheras apabila mereka dibelasah 5-0.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dihubungi berkata, skuad yang dibarisi hampir semua pemain Bawah 23 tahun yang meraih pingat emas di Sukan Sea Laos bulan lalu itu, menunjukkan persembahan terpuji namun terpaksa menerima kekalahan menerusi gol lewat permainan pasukan lawan.

"Skuad negara beraksi dengan baik. Kita bukan hanya bertahan tapi turut melancarkan serangan. Namun adat permainan ada menang, ada kalah. Jaringan yang dihasilkan oleh UAE menerusi 'set-piece', namun saya puas hati dengan semangat yang dipamerkan pemain muda negara.

"Mereka berjuang habis-habisan, kita terpaksa terima kekalahan ini. Kalau dinilai menerusi persembahan pemain negara memang ada peningkatan," katanya.

Skuad negara ketika itu dibimbing jurulatih B Sathianathan tumpas 0-5 kepada UAE pada perlawanan pertama, diikuti kekalahan di tangan Uzbekistan 1-3 di gelanggang lawan dan kemudian tewas dengan jaringan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil, November lalu.

Sumber : Harian Metro Online

TAHNIAH SKUAD MALAYSIA KERANA KALAH TIPIS 0-1 KEPADA UAE.
INI DINAMAKAN PENINGKATAN WALAUPUN KALAH DENGAN JARINGAN 1 GOL.
TAHNIAH....

No comments: