Sunday, February 06, 2011

Pengumpat, Pencela serta Pengadu Domba adalah antara DOSA BESAR


Pedoman: Mengadu domba antara dosa besar

DALAM peristiwa Israk dan Mikraj, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW menyaksikan segolongan lelaki dan wanita memotong potongan daging seorang daripada mereka.

Kemudian, mereka meletakkan potongan daging itu pada mulut seorang di kalangan mereka dan berkata: “Makanlah seperti mana yang aku makan.” Hairan dengan kejadian itu, Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Wahai Jibril, siapakah mereka itu? Lantas Jibril menjawab: “Mereka inilah pengumpat, pencela serta pengadu domba.” Menyentuh mengenai hal ini, Imam al-Ghazali serta kebanyakan ulama Islam bersepakat ia termasuk antara dosa besar yang mendedahkan sesuatu perihal atau percakapan orang lain kepada diri yang diumpat.

Sikap suka mengadu ini pasti mendatangkan persengketaan dan perbalahan antara dua pihak dan sesiapa yang melakukannya tergolong dalam kalangan orang yang menabur fitnah sebagaimana kumpulan manusia yang dilihat oleh Rasulullah SAW.

Ini jelas dalam firman Allah SWT dalam surah Humazah, ayat satu yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji,” dan surah al-Qalam, ayat 11 hingga 13 yang bermaksud: “Yang suka mencaci lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk menjahilkan orang ramai).” Dalam ayat ini, golongan yang suka mencaci dan menyebarkan fitnah untuk merosakkan orang lain tergolong di dalam perbuatan mengadu domba.


Sebagai orang Islam, menjadi kewajipan kepada kita untuk tidak melakukan fitnah dan mengadu-domba serta menolak jika didatangi orang yang suka berbuat demikian.


Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat, 6) Allah SWT juga berfirman bahawa kita tidak boleh mencampuri urusan dan perbalahan orang lain serta memperbesar-besarkan sesuatu perkara sebagaimana dinyatakan dalam surah al-Hujarat, ayat 12, bahawasanya: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” Huzaifah RA menyatakan, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa golongan ini tidak akan memasuki syurga sebagaimana sabda baginda iaitu: “Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba.” (Riwayat Muslim) Justeru, peliharalah lidah daripada melakukan perkara yang ditegah oleh syariat seperti mengadu domba atau menyebar fitnah kerana ia merosakkan hubungan sesama insan, selain akan diazab oleh Allah SWT sebagaimana diperlihatkan kepada Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj.

Sumber : Harian Metro Online

SEMOGA MENJADI PEDOMAN UNTUK KITA SEMUA..

No comments: