PEMAIN-pemain skuad kebangsaan melaungkan slogan Malaysia Boleh! selepas menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. Skuad negara akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 hari ini sebelum bertandang ke Jakarta untuk pertemuan akhir kedua pada Rabu depan.
KUALA LUMPUR – Kini detik penentuannya telah tiba, peluang keemasan buat skuad kebangsaan muncul sebagai kuasa baru bola sepak Asia Tenggara hanya tinggal selangkah sahaja lagi dan Indonesia menjadi halangan terakhir sebelum trofi AFF mampu dijulang oleh skuad Harimau Malaya.
Mungkin reputasi hebat Indonesia yang menang lima kali berturut-turut di Piala Suzuki AFF 2010 kali ini menimbulkan sedikit kegerunan di kalangan pemerhati bola sepak tetapi ia tidak harus ada di dalam psikologi pemain kita dan penyokong yang akan turun memberikan sokongan tidak berbelah bahagi di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Lupakan segera memori pahit dibelasah 1-5 pada pertemuan sulung pada lawan yang sama dan pada pentas akhir, ia satu medan yang berbeza buat kedua-dua pasukan.
Buat Indonesia, jangan sesekali memandang enteng terhadap kemampuan Harimau Malaya yang akan tampil mempamerkan perwatakan sebenar untuk membaham Sang Garuda.
Berdasarkan pesanan jurulatih, K. Rajagobal, dia mengingatkan keputusan 1-5 ketika berdepan Indonesia pada 1 Disember lalu sudah lama berlalu dan ia sudah menjadi satu sejarah.
‘‘Kepada para pemain, jangan ingat lagi pada perlawanan lalu yang mana kita tewas 1-5 dan jangan sama sekali gentar dengan pasukan Indonesia.
‘‘Perlawanan akhir tidak sama dengan perlawanan sebelum ini dan jika anda tanya pada saya, saya akui tidak ada langsung perasaan takut kepada mereka (Indonesia).
‘‘Saya mahu pemain bermain seperti biasa dan mengikut apa yang dirancangkan dan bermain dengan penuh keyakinan kerana beraksi di tempat sendiri,’’ katanya yang ditemui di Stadium Nasional, semalam.
Pada sesi latihan terakhir skuad kebangsaan di Stadium Nasional, kelibat penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha tidak kelihatan kerana pulang ke majlis persandingan perkahwinannya di Kota Bharu.
Suasana latihan di dalam skuad kebangsaan tampak begitu harmoni dan tenang pada petang semalam, malah tiada sekatan kepada media tidak seperti mana Indonesia yang mengamalkan latihan secara tertutup.
Dalam pada itu, Rajagobal mengesahkan Khyril Muhymeen akan terlepas pertemuan pertama dengan Indonesia kerana kecederaan lututnya masih belum pulih.
‘‘Hanya Khyril sahaja tidak dapat diturunkan pada perlawanan hari esok selepas fisioterapi mengesahkan dia tidak cergas sepenuhnya untuk berhadapan Indonesia,’’ katanya.
Bagi pengurus bola sepak negara, Datuk Subahan Kamal yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 berkata jika Malaysia menang ke atas Indonesia dalam dua pertemuan akhir, ia satu kejayaan yang cukup manis kerana ia diperolehi menerusi 100 peratus tenaga tempatan.
‘‘Dua perkara yang boleh kita boleh capai jika kita muncul juara, pertama ialah kita berjaya menggunakan jurulatih dan pemain tempatan, satu pencapaian yang sukar dilakukan oleh pasukan lain.
‘‘Satu lagi, kita akan membina landasan baru dalam bola sepak negara dan kembali meraih kepercayaan rakyat negara ini untuk menyokong kembali skuad kebangsaan di pentas antarabangsa,’’ jelasnya yang berharap kemenangan pada hari ini akan menjadi hadiah terbaik pada hari lahirnya.
Sumber : Utusan Malaysia Online
HARAPAN RAKYAT MALAYSIA IALAH MALAYSIA PERLU MENANG!!
AGAK-AGAK KORANG, MALAYSIA MENANG BERAPA ?
1-0, 2-0,3-0 atau 1-2,0-2 ?
1 comment:
Malaysia boleh! main bola jangan sampai cedera - Kecederaan/Kematian di Padang Bola Sepak
Post a Comment