Wednesday, December 01, 2010

PENDANG : Cubaan Bunuh Diri Kali Kedua Gagal


PENDANG – Gara-gara bunyi pelik yang sering didengarnya menyebabkan seorang warga emas di Kampung Batu Hampar Kanan bertindak menggantungkan diri.

Warga emas berkenaan Ismail Abdullah, 80, bertindak menggantungkan diri menggunakan wayar elektrik di hadapan rumahnya kira-kira 12.30 tengah hari kelmarin, namun gagal apabila tindakannya itu disedari remaja yang melalui kawasan berkenaan.

Ketika di tempat kejadian, Sinar Harian mendapati penduduk dan pihak kesihatan sedang berusaha menurunkan mangsa dari tali gantung dan keadaannya lemah. Berikutan itu mangsa terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Penduduk berdekatan mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan remaja yang melihat kejadian itu dan segera ke rumah mangsa bagi menyelamatkannya.

Salah seorang penduduk berkata, sebelum ini mangsa pernah menggantungkan diri kerana dikatakan runsing apabila sering mendengar pelbagai bunyi pelik.

“Hujung September lalu mangsa bertindak menggantungkan diri, namun gagal dan pada kali ini mangsa bertindak melakukan perkara sama.

“Mangsa tinggal seorang diri di sebuah rumah dan sering bercerita tidak mahu lagi hidup dan pernah beberapa kali memberitahu ingin membunuh diri namun, mereka sering menasihati mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa sering mengadu mendengar pelbagai bunyi menyebabkannya sering mendapatkan rawatan cara tradisional daripada pelbagai bomoh namun tidak berjaya.

Sementara itu, penduduk, Sharulnizam Abd Hafiz, 13, dan Zarul Azham Abu Bakar, 15, berkata, mereka melihat kejadian itu semasa melalui kawasan berkenaan menyebabkan mereka memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung.

Sharulnizam berkata, mereka tidak berani ke tempat kejadian selepas melihat mangsa sudah terkulai.

“Sebelum kejadian, kami berada di kawasan berhampiran rumahnya dan melihat mangsa sedang menebas rumput di kawasan rumahnya dan memanggil kami membalut rokok daun namun, kami enggan kerana tidak menghisap rokok.

“Selepas beredar dari kawasan itu, kami ke pusat Internet dan lebih satu jam kami melalui kawasan itu semula dan melihat badan mangsa terkulai,” katanya.

Baru-baru ini Sinar Harian menerima beberapa panggilan daripada penduduk memaklumkan mangsa ingin berjumpa wartawan untuk melaporkan bahawa mangsa ditipu bomoh namun, hasratnya tidak kesampaian kerana laporan itu tidak tepat menyebabkan wartawan gagal ke kediamannya. 

Sumber : Sinar Harian Online
KENAPA SAMPAI NAK MEMBUNUH DIRI ? MACAM-MACAM LA

No comments: