Hujan lebat luar biasa diramal landa Pantai Timur, Sabah, Sarawak dan Johor
KUALA LUMPUR: Selepas Kedah dan Perlis, beberapa negeri di Pantai Timur termasuk bahagian Timur Johor serta Sabah dan Sarawak pula dijangka mengalami banjir besar berikutan peningkatan taburan hujan dengan sesetengah tempat diramal melebihi 40 peratus berbanding paras biasa.
Fenomena itu berlaku ekoran perubahan cuaca musim Monsun Timur Laut bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan hingga awal Mac depan.
Pengarah Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Ling, berkata kadar purata taburan hujan bagi kawasan berkenaan terutama Kelantan, Terengganu, Pahang, Pantai Timur Johor serta Sabah dan Sarawak pada kebiasaannya mencatat 680 milimeter (mm).
“Namun, disebabkan peningkatan dan hujan yang diramal berterusan, taburan purata hujan akan meningkat sehingga 1,000 mm di beberapa kawasan yang akan mengakibatkan banjir.
“Dalam tempoh ini hujan boleh berlaku sepanjang hari dengan hujan yang lebih kerap pada lewat malam dan pagi yang turut disertai ribut petir,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Saw bagaimanapun berkata, fenomena itu biasa berlaku setiap tahun ketika Monsun Timur Laut atau lebih dikaitkan dengan kehadiran musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung.
Sepanjang tempoh itu, negeri di Pantai Timur Semenanjung, kawasan pantai Sarawak dan pantai Timur Sabah akan mengalami hujan lebat menyeluruh yang berterusan selama dua hingga tiga hari.
“Dalam kes cuaca yang ekstrem, hujan lebat yang menyeluruh ini boleh bertahan selama tiga hingga lapan hari, malah hujan lebat akan berlaku dalam masa yang berlainan di kawasan berkenaan sepanjang musim ini yang akan menyebabkan kemungkinan berlakunya banjir,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir supaya berwaspada dan mengambil berat amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlakunya banjir.
Katanya, Jabatan Meteorologi juga sentiasa mengemas kini dan memantau maklumat serta perubahan atmosfera dari semasa ke semasa termasuk mengeluarkan amaran di media massa.
Di KUALA TERENGGANU, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata Terengganu kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kebimbangan pertembungan limpahan hujan dengan air pasang besar yang dijangka berlaku akhir bulan ini dan tiga kali sepanjang bulan depan.
“Jika pertembungan itu berlaku, beberapa kawasan rendah akan ditenggelami air kerana limpahan air hujan tidak mampu mengalir ke laut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan banjir di negeri ini.
Difahamkan, Terengganu pernah merekodkan taburan hujan sebanyak 1,006 mm pada November 1998, yang tertinggi bagi tempoh 30 tahun.
Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana negeri, berkata kerajaan negeri mengenal pasti 198 kawasan yang sering dilanda banjir dan sudah membuat persediaan termasuk menghantar bekalan makanan ke 121 pangkalan hadapan.
Sumber : Berita Harian Online
SEMUA ORANG, DIMINTA BERJAGA-JAGA HARTA BENDA KORANG...
No comments:
Post a Comment