Johor FC guna 4-4-2 perangkap Kedah
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan seimbang
FORMASI 4-4-2 bakal menjadi pertaruhan Johor FC tatkala melayani kunjungan Kedah dalam pertembungan Kumpulan C, Piala Malaysia di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam esok.
Jurulatih Johor FC, Azuan Zain menegaskan betapa taktik berkenaan tampak seimbang dalam aspek menyerap corak serangan serta bertahan tanpa membuat pemain tertekan selain memberi tumpuan memburu kemenangan pertama.
Katanya, kesebelasan utama yang akan diturunkan nyata sudah bersedia menghadapi pasukan lawan yang memiliki reputasi tinggi selaku pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia dan beraksi di saingan akhir Piala FA musim ini.
“Hormat tetap hormat kepada Kedah tetapi perlu ada batasan kerana Johor FC juga memiliki pemain berkualiti selain kelebihan beraksi di laman sendiri tidak harus disia-siakan untuk memburu tiga mata berharga.
“Kemungkinan saya akan menggandingkan Mohd Rashid Mohd Aya bersama Mohd Irme Mat di posisi serangan namun belum diputuskan lagi kerana persembahan Mohd Ezaidy Khadar ketika sesi latihan terakhir cukup memuaskan.
“Kekuatan di posisi tengah memainkan peranan penting sama ada Johor FC mampu menguasai perlawanan dan kembalinya Eddy Helmi Manan yang akan bergandingan bersama Mohd Khairul Ismail serta Wan Rohaimi Ismail menjadi sandaran utama buat pasukan Johor FC,” katanya.
Rekod pertemuan antara Johor FC-Kedah nyata seimbang dan pertembungan kali ini amat penting buat Azuan yang kembali mengemudi skuad senior pasukan bertaraf kelab dari selatan tanah air selepas kali terakhir membimbing pasukan itu ketika musim 2003.
Sumber : Berita Harian Online
MAMPUKAH JOHOR LAWAN DENGAN TEAM KEDAH NI ?
RASANYA KEDAH AKAN MENANG 4-0 ....
JANGAN MARAH YER PEMINAT TEAM JOHOR... HEHE
No comments:
Post a Comment