Tuesday, September 14, 2010

Akhirnya : Norman, Memey bertunang

 KOTA TINGGI 13 Sept. - Aktres Memey Suhaiza Suhaimi selamat ditunangkan dengan pasangannya yang juga aktor kacak, Norman Hakim, 34, di kediamannya di Felda Tenggaroh Selatan 1, di sini hari ini.

Memey, 22, yang anggun mengenakan busana berwarna putih rekaan Ezuwan Ismail menerima sebentuk cincin pertunangan daripada Norman dalam satu majlis ringkas yang diadakan petang ini.

Majlis menyarungkan cincin dilakukan oleh ibu Norman sendiri, Kamariah Kamal sambil disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Selain itu, Memey turut menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya kasut, beg tangan, baju dan buah-buahan manakala Norman pula menerima tujuh dulang daripada pihak perempuan berupa sirih junjung, set wangian untuk lelaki, coklat dan buah-buahan.

Dalam sesi perbincangan selama 30 minit itu, pihak lelaki diwakili oleh bapa saudara Norman, Mejar (B) Ismail Kamat manakala Memey diwakili oleh datuknya, Sarwani Saien.

Bagaimanapun tempoh pertunangan dan wang hantaran belum ditetapkan.

Memey ketika ditemui pemberita melahirkan rasa kesyukuran selepas bergelar tunangan kepada Norman atau nama betulnya, Muhammad Norhakim Zaidon apatah lagi selepas mengharungi pelbagai dugaan dalam alam percintaan mereka.

"Saya bersyukur kerana majlis ini berjalan lancar seperti yang dirancang walaupun persiapan untuk majlis tersebut hanya dua minggu. Terima kasih kepada keluarga dan sanak saudara yang banyak membantu.

"Mengikut perancangan awal, kami hanya bercadang untuk merisik tetapi setelah berbincang dengan kedua belah pihak kami bersepakat untuk terus mengikat tali pertunangan," katanya.

Sementara itu, Norman yang hadir memakai baju kemeja berwarna putih, berseluar jean dan bersongkok berkata, Memey adalah pilihannya dan ia mendapat restu kedua orang tua.

Malah dia turut menyifatkan Memey sebagai wanita yang sabar dan mampu melengkapi hidupnya untuk perjalanan akan datang.

"Saya yang memilih dia. Ia datang dari hati dan bukan paksaan dari mana-mana pihak. Malah saya juga bertuah kerana anak-anak saya juga menerima kehadirannya," katanya riang. 

Sumber : Utusan Malaysia Online
KALAU NIKAH TERUS KAN BAGUS...
DAH BERTUNANG, BILA PULAK NAK NIKAH NYER ??

No comments: