Thursday, August 12, 2010

Ranking FIFA MALAYSIA Naik Lagi

Ranking FIFA kita naik lagi



KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara naik ke ranking 139 dunia, melonjak tiga anak tangga berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk bulan Ogos, semalam.

Bulan lalu, ranking Malaysia di tangga ke-142, setelah naik empat anak tangga daripada kedudukan ke-146 pada bulan sebelumnya.

Peningkatan itu bermakna, skuad negara naik lapan anak tangga sepanjang dua bulan lalu di dalam ranking FIFA. Pada Disember tahun lalu, Malaysia sekadar berada di tangga ke-159 dunia.

Peningkatan ranking pada Ogos dibantu faktor perlawanan persahabatan antara skuad Bawah 23 Malaysia yang berdepan skuad bawah 21 Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

Petanda positif itu turut dikongsi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin yang menyifatkan ia khabar gembira buat bola sepak negara.

''Peningkatan sedikit demi sedikit ini telah kita tunjukkan sejak setahun yang lalu, semasa di bawah kendalian jurulatih, K. Rajagobal.

''Kini, tugas kita semua terutamanya Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah untuk mempertahankan kedudukan ranking ini dan kalau boleh terus mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, semalam.

Hamidin optimis skuad negara mampu melonjak ke tangga lebih baik, jika mempamer prestasi terbaik pada kejohanan AFF Piala Suzuki 2010.

''Dengan skuad Bawah 23 yang ada sekarang dan pemain Harimau Muda, saya yakin Malaysia mampu melonjak ke peringkat baru dalam persaingan bola sepak antarabangsa.

''Mungkin dalam masa satu tahun atau pada penghujung tahun ini, skuad negara boleh berada di kalangan 100 negara terbaik di dunia.

''Namun apa yang penting, pemain perlu terus konsisten dalam setiap perlawanan, tidak kira pada peringkat kejohanan atau perlawanan persahabatan, '' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online dan FIFA.COM
TAHNIAH.. SEMOGA MEMPERBAIKI LAGI RANKING DUNIA DI MASA AKAN DATANG..

No comments: