Skuad takraw tewas 2-1 pada separuh akhir berpasukan Piala Raja Thai
APA yang dibimbangkan mengenai peningkatan Korea Selatan dalam sepak takraw menjadi kenyataan di Chiang Mai, kelmarin.
Selepas menjadi pasukan belasahan, Korea Selatan kini membuktikan mereka adalah kuasa baru apabila mengaibkan pasukan yang berbangga selaku ‘pencipta permainan itu.’ Siapa lagi kalau bukan Malaysia!
Skuad bimbingan Iskandar Arshad dimalukan Korea Selatan 2-1 dalam separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai persiapan mereka menghadapi Sukan Asia Guangzhou, November ini.
Dalam saingan lewat malam kelmarin, skuad negara mempertaruhkan trio Norazman Abdul Hamid, Norshahruddin Md Ghani dan Farhan Adam selaku regu pertama tetapi mereka menghampakan apabila tunduk kepada regu Korea, 17-21, 21-17, 10-15.
Trio Normanizam Ahmad, Futra Abdul Ghani dan Arif Ramli - gandingan yang menjuarai Terbuka Saturn dan Heongseong - hampir menjadi mangsa tetapi pengalaman menjadi penyelamat apabila menewaskan regu kedua lawan, 24-25, 22-20, 15-13.
Ketika kedudukan terikat 1-1, gandingan K Saravanan, Helmi Ismail dan Zulkarnain Arif jelas tidak mempunyai jawapan terhadap kekentalan dan kehebatan regu ketiga Korea Selatan apabila tewas 16-21, 14-21.
Pengerusi Penyediaan Atlit Sepak Takraw, Muhamad Asri Abdul Jalil, mengakui kekalahan itu memberi isyarat jelas supaya skuad negara melipatgandakan usaha untuk menghadapi temasya Guangzhou yang menjadi sasaran utama.
“Saya dan barisan jurulatih bertanggungjawab atas kekalahan ini dan akan melakukan post mortem segera untuk mengenal pasti puncanya. Saya percaya kekalahan ini mungkin ada hikmahnya,” katanya.
Bagaimanapun, Korea gagal mengejutkan Thailand pada final apabila tumpas 0-2 kepada juara bertahan itu.
Sumber : Berita Harian Online
MALAYSIA KALAH ??
No comments:
Post a Comment