Monday, June 21, 2010

Remaja Perempuan Sekarang Hisap Gam, Berkhayal, Bercumbu..

 GELAGAT dua remaja wanita yang tidak segan silu menghidu gam sambil berjalan di tempat awam di Taman Melaka Raya 1.


MELAKA: Sebahagian remaja bawah umur yang suka berpeleseran di sekitar Taman Melaka Raya, Bandar Hilir, di sini, dipercayai turut terbabit dalam kegiatan menghidu gam sehingga membimbangkan pelbagai pihak terutama peniaga di kawasan berkenaan.

Selain menghidu gam, ada di antara mereka tanpa segan silu melakukan perbuatan tidak bermoral seperti berpelukan dan mengganggu ketenteraman awam serta duduk berkumpul di tembok laluan pejalan kaki dengan membuat bising.

Tinjauan Berita Harian baru-baru ini, mendapati dua gadis remaja khayal menghidu gam tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekitar mereka, malah kehadiran jurugambar Berita Harian di situ juga tidak diendahkan.

Akibat terlalu khayal, dua gadis yang berusia dalam lingkungan belasan tahun itu juga merepek dan membebel tidak tentu arah sehingga masing-masing mengadu kesal terhadap keluarga masing-masing.

Remaja terbabit dikatakan menjadikan gam sebagai alternatif kepada dadah, sebagai alat untuk membuatkan diri mereka asyik dan khayal serta melupakan masalah dihadapi.

Mereka dipercayai membeli gam basikal pada harga RM5 setin di beberapa kedai basikal berhampiran, sebelum memasukkannya ke dalam plastik dan kemudian menghidunya.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 19, berkata dia sering terserempak dengan 'komuniti' penghidu gam itu terutama pada setiap hujung minggu.
Beliau berkata, 'geng lalok' terbabit di kalangan sekumpulan remaja nakal dipercayai dari kawasan berhampiran, menjadikan setiap Sabtu dan Ahad sebagai waktu untuk berkumpul menghidu gam beramai-ramai di laluan kaki lima kedai di Jalan Melaka Raya 1 sebagai 'port' melakukan kegiatan itu.

"Apa yang mengejutkan, kumpulan remaja ini bukan saja lelaki, malah disertai remaja perempuan yang turut menjadi kaki hidu gam.

"Mereka juga dilihat bercumbuan dan berpelukan di kawasan yang dilalui orang ramai tanpa malu, selain sanggup membuang air kecil di tepi premis," katanya ketika ditemui.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 36, berkata lokasi sekitar kawasan itu adalah antara lokasi 'panas' remaja menghidu gam.

Katanya, beberapa lorong dan kaki lima di kawasan premis itu dijadikan lokasi golongan terbabit melepaskan gian tanpa silu atau takut orang ramai memerhati gelagat mereka.

"Remaja yang dipercayai masih bersekolah ini akan berkumpul di sini, kira-kira jam 2 petang hingga malam setiap Sabtu dan Ahad.

"Selain menghidu gam, mereka juga mengganggu orang ramai termasuk pengunjung yang melalui kawasan mereka. Jika wanita atau warga asing lalu di kawasan itu, mereka meminta wang dan jika lelaki pula, mereka minta rokok," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

REMAJA PEREMPUAN ZAMAN SEKARANG LEBIH BERANI....
DI MANA IBU BAPA MEREKA ? BAGAIMANA KEHIDUPAN KELUARGA MEREKA ?
BAGAIMANA NAK MEMBENDUNG PERKARA INI ? 
SALAH POLIS TAK TANGKAP MEREKA ?
SALAH IBUBAPA TAK AMBIL TAHU PASAL ANAK MEREKA ?
SALAH MASYARAKAT KERANA BIARKAN MEREKA BUAT BENDA YANG SALAH ?

No comments: