Monday, May 03, 2010

Blogger Diingat Tidak Jejaskan Keharmonian Negara

PETALING JAYA 2 Mei - Media alternatif dan para blogger diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam menyiarkan berita, perbincangan atau pandangan supaya tidak menjejaskan keharmonian negara.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, walaupun kerajaan belum mewujudkan akta untuk mengawal media alternatif tetapi pengendalinya tidak patut menggunakannya untuk memfitnah atau mencaci orang lain.

"Kerajaan pastinya tidak akan teragak-agak untuk mewujudkan akta ini pada suatu hari nanti jika mendapati media alternatif semakin melampaui batas,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan forum bertajuk "Perlukah kerajaan mengawal selia akhbar di Malaysia?" sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Pusat Aktiviti, akhbar Sin Chew Daily di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUJM), Norila Daud.

Abu Zahar berkata, sehingga ini keadaan masih terkawal kerana sebahagian besar rakyat masih dapat menapis sendiri dan membuat pertimbangan ke atas maklumat yang diperoleh daripada media alternatif tersebut.

"Sekian lama rakyat berbilang kaum di negara ini hidup dengan aman damai dan kerana itu kita tidak mahu ia terjejas oleh peranan media alternatif ini,'' katanya.

Sementara itu, Norila dalam ucapannya berkata, walaupun akhbar masih diikat kebebasan menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tetapi ia dianggap tidak relevan lagi pada masa sekarang.

"Ini kerana banyak keadaan dan kejadian yang berlaku di sekeliling hari ini akan didedahkan oleh portal berita atau blogger sekiranya media arus perdana enggan membongkarnya,'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

YANG BAIK, KITA SIARKAN BERITA YANG BAIK...
YANG FITNAH, USAH SAMA SEKALI...
KALAU ADA SALAH SILAP DALAM BLOG INI...
HARAP KAWAN-KAWAN TUNJUK AJAR SAT

No comments: