Sunday, April 18, 2010

Achik Spin Maut Kemalangan Di Lebuh Raya Lekas

Video Kemalangan Kereta Allahyarham Achik Spin



Isteri Allahyarham, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof (mendukung anak) turut menanti bersama keluarga di luar bilik forensik Hospital Tuanku Jaafar, lewat petang semalam. 

 KERETA Toyota Estima yang dinaiki bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau nama sebenar, Murad Md Shari, 28, dan sepupunya Salihin Md Salleh, 29, terbakar selepas terbabas dan melanggar tiang papan tanda di Kilometer 13, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Mantin, petang semalam.

SEREMBAN 17 April - Penyanyi, Achik Spin, 27, meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas di Kilometer 14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) sebelum susur keluar Pajam arah selatan dekat sini lewat petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari meninggal dunia di tempat kejadian, tidak jauh setelah melepasi Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Beranang dan dua kilometer sebelum susur keluar Pajam, arah selatan.

Allahyarham cedera parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan lain selepas MPV Toyota Estima dipandunya terbabas lalu melanggar tiang papan tanda susur keluar Pajam.

Achik yang berasal dari Felda Sendayan di sini, merupakan pasangan duet paling sinonim dengan Siti Nordiana atau Nana serta popular dengan lagu Janji Kita, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Green Street Homes, Seremban 2 dekat sini.

Petang ini, beliau muncul menerusi dalam program siaran langsung Hits 1 TV1 di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ekoran kemalangan itu, Allahyarham bersama-sama seorang rakannya tercampak keluar dari kereta tersebut sebelum kenderaan berkenaan terbakar dan meletup.

Rakan karibnya yang dikenali sebagai Mohd. Salihin Shah Mohd. Salleh, 29, bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami patah kaki dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, ia berlaku sebaik sahaja kenderaan tersebut melepasi R&R Beranang, sebelum susur keluar ke Pajam.

"Kenderaan mangsa tiba-tiba terbabas dan melanggar papan tanda di tepi jalan," katanya di sini hari ini.

Menurut Abd. Halil, sewaktu kejadian berlaku, tiada kenderaan lain terbabit dengan kemalangan berkenaan.

Orang ramai dan beberapa pekerja yang menyaksikan kejadian itu cuba menyelamatkannya Allahyarham, namun cubaan mereka itu gagal.

Beberapa saksi yang berada di situ juga berkata, kenderaan MPV itu terbakar sejurus rakan Achik berjaya dibawa keluar untuk dihantar ke HTJ oleh orang ramai.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Mantin, Hamizin Khaidir berkata, penyanyi berkenaan tercampak keluar dari MPV dan orang ramai cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

"Pihak kami menerima panggilan pada pukul 6.32 petang dan kebakaran dipadamkan beberapa minit kemudian," katanya.

Mayat Achik telah dibawa ke HTJ di sini malam ini untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Allahyarham telah berkahwin pada 2005 meninggalkan isteri H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau dikenali sebagai Tasha dan dua orang anak perempuan berusia 10 bulan dan tiga tahun.

Selain menyanyi, Achik kini mengusahakan perniagaan bersama abangnya di bawah syarikat Spire Spin Sdn. Bhd.

Syarikat yang menjalankan pelbagai urusniaga penerbitan buku itu kini mempunyai cawangan di Seremban dan Johor Bahru.

Sumber : Utusan Malaysia Online dan Berita Harian Online

AL-FATIHAH KEPADA ALLAHYARHAM ACHIK SPIN...

No comments: