Thursday, March 25, 2010

Pelajar Dikenakan Bayaran Masuk Tandas Sekolah

KOTA KINABALU 24 Mac - Dikenakan bayaran sebelum memasuki tandas di kompleks membeli belah sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat negara ini.

Bagaimanapun, jika dikenakan bayaran ketika memasuki tandas sekolah, ia pasti mengundang seribu satu persoalan seperti yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan, dekat sini.

Walaupun mengakui langkah tersebut bertujuan menjaga kebersihan tandas sekolah namun ramai ibu bapa berpendapat masih ada langkah lain yang boleh dilakukan untuk tujuan itu.

Menurut mereka, tindakan mengenakan bayaran cukup membebankan khususnya di kalangan mereka yang mempunyai ramai anak di sekolah tersebut.

Vincent Lompok, 50, berkata, bayaran 10 sen yang dikenakan untuk setiap kali memasuki tandas, amat membebankan kerana ramai pelajar datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kadang-kadang untuk belanja makan pun ada antara pelajar terpaksa berjimat, inikan pula terpaksa menyediakan bayaran untuk masuk ke tandas.

"Jadi saya amat berharap perkara ini dikaji semula memandangkan ramai ibu bapa tidak bersetuju dengan kaedah tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, masalah tersebut telah lama membelenggu pelajar sekolah berkenaan, namun tidak ada pihak yang berani menyuarakannya.

Katanya, ia perlu diselesaikan kerana ada pelajar yang sanggup menahan untuk membuang air kecil semata-mata kerana tidak mahu membayar atau tiada wang untuk ke tandas.

Vincent mendakwa sudah mengajukan masalah tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan tetapi tiada penyelesaian dicapai setakat ini.

"Mungkin mereka boleh menggantikan bayaran tersebut kepada yuran tahunan untuk menjaga kebersihan tandas," katanya.

Seorang ibu, Rahimah Daud, 38, berharap bayaran tersebut dapat dihapuskan kerana membebankan ibu bapa yang terpaksa menambah perbelanjaan wang saku anak-anak.

"Saya terpaksa menambah wang saku 50 sen sehari untuk tandas sahaja, belum lagi perbelanjaan lain," katanya yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa.

Sementara itu seorang penjaga yang enggan dikenali menyifatkan tindakan mengenakan bayaran tersebut amat melampau dan menyusahkan murid-murid serta ibu bapa.

Katanya, sekolah sebagai tempat mendidik pelajar haruslah berusaha mendidik pelajar menjaga kebersihan bukannya dengan mengenakan bayaran seperti itu.

"Anak saya kalau hendak ke sekolah pasti berebut ke bilik air dahulu. Ini memang tidak patut dan tidak pernah dibuat orang," tegasnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

MACAM-MACAM JUGA .... DULU TAK KENA DUIT MASUK TANDAS SEKOLAH...
SEKARANG.. KENA RM0.20 PULAK.... ABIS LA DUIT MAK BAPAK...

No comments: