BUKTI...Lua menunjukkan gambar kesan lebam di leher anaknya.
KOTA BHARU: Kerana mengeluarkan perkataan ‘celaka cikgu’, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, trauma selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘amuk’ seorang guru dalam kejadian pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari tandas sebelum diminta mengeluarkan buku nota oleh guru terbabit. Bagaimanapun, mangsa yang belum sempat berbuat demikian tergamam apabila guru berkenaan secara tiba-tiba menarik kerusinya hingga terjatuh sebelum menarik baju serta mencekik bahagian mulut dan belakang lehernya.
Difahamkan, guru yang mendakwa terdengar mangsa mengeluarkan perkataan biadap itu kemudian merotannya sebanyak dua kali sebelum guru besar tiba ke kelasnya.
Menurut bapa mangsa, Lua Boon Hoe, 40, dia hanya mendapat tahu perkara itu pada hari berikutnya selepas dimaklumkan anak perempuannya yang berada di tingkatan lima di sekolah sama. Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu dan meminta anaknya itu menceritakan perkara sebenar. “Saya tidak tahu kejadian itu sehinggalah anak perempuan secara tidak sengaja menceritakan perkara itu ketika makan malam pada Jumaat lalu.
“Saya memaksanya memberitahu perkara sebenar yang berlaku pada adiknya dan dia juga ada mengambil gambar kecederaan itu menggunakan telefon bimbit sebelum kami membuat laporan polis,” katanya.
Kesal dengan kejadian itu, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada jam 1.29 pagi, Sabtu lalu.
Sejurus membuat laporan itu, anaknya kemudian membuat pemeriksaan perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan diminta menunggu selama dua minggu untuk diberi laporan perubatan.
Selain itu, Lua berkata selepas membuat laporan itu dia berjumpa dengan guru besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan diberitahu kejadian itu akan disiasat pihak sekolah.
Bagaimanapun, permintaannya untuk berjumpa guru terbabit ditolak dan dia hanya dibenarkan berurusan dengan guru besar saja.
“Semalam saya sekali lagi ke sekolah berjumpa dengan guru terbabit. Dia memaklumkan terdengar anak saya cakap ‘celaka cikgu’ yang dianggap biadap dan mengakui merotannya tiga kali.
“Bagaimanapun, saya kesal kerana dia berkata tiada saksi yang mendengar anak saya bercakap seperti itu kepadanya. Dia juga hanya mengaku merotan anak saya dengan perlahan tetapi tidak melakukan perkara lain termasuk mencekiknya,” katanya.
Dia berkata, selepas kejadian itu anaknya tetap ke sekolah seperti biasa tetapi masih dirundung trauma dan rasa takut.
“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana sebagai seorang guru, dia tidak boleh bertindak demikian dan merancang mengambil tindakan undang-undang menyaman guru terbabit,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ghazali Ab Rahman berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dengan mendapatkan laporan kejadian daripada sekolah terbabit.
Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru terbabit sekiranya didapati bersalah.
Sumber : Harian Metro Online
BAGAIMANA PERASAAN ANDA JIKA ANDA SEORANG CIKGU,
ANAK MURID CAKAP CELAKA CIKGU ???
KALAU CIKGU YANG PANAS BARAN, PEPAHAM JA LA.....
KALAU CIKGU PENYABAR, DIA MESTI ADUKAN PADA PENGETUA DAN AMBIL TINDAKAN TATATERTIB.... ANDA BAGAIMANA ???SALAHKAN CIKGU ? SALAHKAN ANAK SENDIRI ? ATAU ......
No comments:
Post a Comment