Friday, February 12, 2010

AF8, Pengacara Termuda, Wanita Pertama






AKADEMI Fantasia kembali lagi untuk musim kelapan. Selepas mengumumkan pengetuanya yang disandang oleh Norman Abdul Halim, pengacara baru Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley serta barisan tenaga pengajar lain di Hotel Hilton Kuala Lumpur Selasa lalu, ternyata AF8 bakal memaparkan konsep yang lebih segar.




Menariknya AF8 kali ini, selain menggunakan dua khidmat pengacara pada malam konsert, para penonton juga diberi peluang untuk menikmati persembahan konsert AF8 terlebih dahulu sebelum menghantar undian.
Ini memandangkan keputusan penyingkiran akan diadakan pada hari berikutnya melalui siaran langsung Debaran AF.



BARISAN tenaga pasukan AF8, dari kiri, Adnan Abu Hassan, Fatimah Abu Bakar, Que Haidar, Linda Jasmin, Norman Abdul Halim, Sarimah Ibrahim, Jimmy Shanley dan Siti Hajar Ismail.



Suatu perubahan yang agak besar juga, dalam mencari bintang AF yang berkualiti, supaya penonton juga tidak akan bosan dengan elemen-elemen baru yang diselitkan nanti.

Kehadiran Norman sebagai pengetua juga mungkin akan menampakkan kelainan memandangkan, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios itu semestinya begitu mementingkan kualiti suara serta imej yang lengkap agar boleh 'dijual' dalam industri muzik tempatan.

Menurut Norman yang turut serta dalam pencarian bakat pelajar AF, dia tidak mahu pelajar-pelajar yang bakal bernaung dalam AF8 akan keluar dengan ilmu yang kosong.

"Saya ada cara yang tersendiri untuk melatih pelajar-pelajar AF8. Pertama sekali, saya mahu mereka kenali diri untuk melihat konsep lagu apa yang sesuai untuk diri masing-masing. Pihak kami (tenaga pengajar) akan memberi arah kepada mereka agar tidak terpesong daripada landasan AF8.

"Saya juga percaya, bila keluar dari AF8 nanti, tak semua yang akan jadi penyanyi. Mungkin mereka akan jadi pengacara, pelakon atau penyampai radio, tetapi saya akan pastikan mereka tidak akan keluar dan terus senyap tanpa khabar berita. Saya mahu mereka bertahan dalam dunia seni tempatan.


JIMMY merupakan pengacara Akademi Fantasia termuda buat masa ini.



"Dalam pada itu, tiga bulan dalam AF8 mungkin dapat memberi peluang untuk mengubah kehidupan mereka dalam mencapai sesebuah matlamat.

"Dari segi pemikiran bisnes pula, kami serta pelajar-pelajar perlu tahu aliran apa yang mereka mahu bawa sebelum melangkah masuk ke industri seni supaya mereka tidak rugi nanti. Kami juga tidak mahu melihat seorang lagi Stacy atau Mawi," tegas Norman.

Tambah anggota kumpulan trio KRU itu lagi, tenaga pengajar AF8 juga tidak boleh menjanjikan para pelajar bahawa mereka akan menjadi seorang superstar kerana ia bergantung kepada minat, usaha dan disiplin diri pelajar tersebut.

Kejutan Que

Dalam pada itu, kehadiran pelakon popular serta pengumuman nama Que Haidar sebagai salah seorang tenaga pengajar AF8 mengejutkan ramai pihak.

Ramai yang menganggap, mungkin kerana isterinya, Linda terlibat sebagai guru tari AF8, maka pengambilan Que sekadar satu pakej untuk memudahkan kerja pihak Astro dan mungkin dari segi bayaran kepada suami isteri itu.

Bagaimanapun, bagi Que, dia enggan berfikiran negatif kerana memikul tanggungjawab untuk jawatan Jurulatih Drama dalam AF8 membuatkan dirinya tidak sabar berkongsi pengalaman dalam bidang lakonan dengan para pelajar AF8 nanti.

"Saya ada juga terfikir, orang ramai pasti menganggap Astro menggunakan (memanipulasi) kami. Namun, itu adalah pemikiran yang negatif. Pengalaman saya dalam lakonan sebenarnya lebih daripada 10 tahun.



PENGLIBATAN Jimmy, Norman dan Sarimah dalam AF8 dijangka menyuntik elemen baru yang lebih segar.



"Kalau nak tahu, saya selalu menonton AF dan mengambil ilmu daripada cikgu-cikgu lakonan untuk memperbaiki lakonan saya.

"Pada masa yang sama, saya bertanya pada diri sendiri, kenapa mereka tidak panggil saya untuk mengajar budak-budak AF? Tak sangka pula, saya benar-benar turut serta dalam pengajar AF8 kali ini.

"Apa pun, saya dapat rasa yang saya boleh jadi cikgu lakonan yang baik. Walaupun saya gementar, tapi saya sudah bersedia untuk menunaikan tanggungjawab saya," katanya.

Lakar sejarah

Tumpuan utama AF8 kali sudah tentu kepada pengacara yang diberi tanggungjawab mengantikan khidmat pengacara AF sebelum ini, AC Mizal, Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim.

Dua nama ini melakar sejarah sebenarnya. Sarimah, 32, merupakan pengacara wanita pertama AF, sementara Jimmy, 30, pula merupakan pengacara AF termuda.

Biarpun cabaran menunggu, namun dengan pengalaman Sarimah dan Jimmy, mereka dijangka memberi sentuhan baru dalam program realiti paling popular ini.

Menurut Jimmy, dia percaya tugasan pengacara AF8 yang bakal dilunaskannya bersama Sarimah mampu menghiburkan penonton, memandangkan kedua-dua mereka mempunyai keserasian yang agak kuat.

"Jangan ingat lain pula," ujar Jimmy sambil ketawa, seolah-olah bimbang andai dia tiba-tiba disalah anggap
punya hubungan emosi dengan Sarimah.

"Kami memang sangat akrab dan kerjasama ini pasti akan memeriahkan suasana. Selamatlah, kami telah dibahagikan kerja pada malam konsert. Kalau tidak, saya percaya kami pasti akan berebut untuk mahu bercakap," jelas Jimmy.

Dalam pada itu, Sarimah pula berasa terharu apabila dia diberi kepercayaan untuk mengendalikan AF8 bersama Jimmy.

"AF8 kali ini sangat berbeza dengan pengalaman saya mengendalikan Diari AF sebelum ini.
"Sepanjang 13 tahun mengacara saya tidak pernah rasa terharu seperti yang dirasakan sekarang ini," ungkap Sarimah.

Tambahnya: "Kebetulan pula bekerjasama dengan Jimmy pasti akan memberi nafas baru dan keunikan tersendiri."

Sumber : Kosmo Online

BANYAK PERUBAHAN MUSIM KE LAPAN NI KAN...
PENAMPILAN PENGACARA BERGANDINGAN LELAKI DAN WANITA....
SAMA-SAMA KITA SAKSIKAN AKADEMI FANTASIA MUSIM KE -8

No comments: