Informasi Menarik Yang Diambil Dari Berbagai Email, Group, Laman Berita Online Dan Website. Info-Info Menarik Seperti Sukan, Makanan, Minuman, Pelancongan, Iklan Biz Internet, Madah Cinta, Lirik Lagu, Yang Lucu, Aneh, Unik Dan Berbagai Macam Lagi Baik Lokal Maupun Dari Mana-Mana Negara Ada Di Sini. Semua Dirangkumkan Menjadi Dalam Situs Blogger http://syamsyun84.blogspot.com
Monday, January 04, 2010
Air mata Chef Wan tumpah kerana Serina
SETELAH pelakon popular, Serina Redzuan, 26, diijabkabulkan dengan pasangannya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar, 33, air mata seorang ayah bernama Chef Wan berlinangan tanpa disedari.
Fikiran Chef Wan atau nama sebenarnya Mohd. Redzuawan Ismail terus melilau mengenangkan kisah-kisah perkahwinannya dahulu yang kemudian diakhiri dengan perceraian.
Menurut Chef Wan, dia teringat bagaimana Serina berlari-lari memanggil namanya saat dia bercerai dengan bekas isterinya, Norhayati Ayob.
"Selain bersyukur kerana akhirnya Serina berkahwin dengan lelaki yang dicintainya, perasaan saya terus sebak kerana tiba-tiba saya teringat kembali sejarah lama saya ketika bercerai.
"Serina berlari-lari memanggil 'papa...papa...' bila saya meninggalkan mereka kepada ibunya untuk ke Amerika Syarikat mencari rezeki. Waktu itu saya rasa sangat sunyi kerana saya bersendirian ketika merantau.
"Kemudian saya teringat bagaimana kehidupan pasang surut kami bersama. Malah, saya terkenang bagaimana dia mula-mula nak jadi artis dan kisah dia bersama arwah Hani Mohsin.
"Sebagai seorang ayah, sudah pasti saya rasa lain sedikit, maklumlah sebelum ini saya jaga dia sebaik yang mungkin, tiba-tiba disambar orang.
"Rasa macam tanggungjawab saya telah diambil alih oleh Salahudin. Di samping lega kerana sudah kurang sedikit tanggungjawab saya sebagai seorang ayah, saya tertanya-tanya bolehkah Salahudin menguruskan anak gadis saya itu," katanya selepas majlis pernikahan Serina di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Tambah Chef Wan, dia turut menasihatkan Serina agar menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sebaik mungkin, terutama membimbing suami mendalami Islam.
"Nasihat saya pada Serina agar belajar untuk menghormati suami dan sentiasa menjaga rukun rumah tangga dengan baik. Sebagai isteri jadilah tulang belakang kepada suami.
"Sebagai orang Islam, Serina harus menjadi contoh yang baik kepada suami. Salahudin seorang lelaki yang berpendirian dan baik orangnya."
Percutian ke Pulau Santorini
Sebagai seorang ayah, seboleh-bolehnya Chef Wan mahukan yang terbaik buat anaknya. Kerana itu, dikhabarkan Chef Wan telah menghabiskan RM30,000 menyiapkan hadiah bulan madu Serina dan Salahudin di sebuah pulau indah di Greece, Pulau Santorini.
"Pertama kali melihat keindahan pulau itu, saya terus tertarik dengannya. Laut dan landskapnya begitu cantik dan romantik. Terus saya teringat pulau ini begitu sesuai untuk Serina dan Salahudin.
"Saya dah beli pakej berbulan madu mereka untuk bulan Julai ini. Masa itu adalah musim panas dan rasanya waktu itu sangat cantik bagi pasangan yang mahu berbulan madu.
"Setelah saya ke sana, saya tak dapat melupakan kecantikan Santorini. Paling saya suka ialah kebiruan airnya.
"Saya percaya Salahudin dan Serina pasti akan teruja bila sampai ke pulau itu," jelas Chef Wan.
Tambahnya, bangunan-bangunan di Santorini juga rata-rata dicat dengan warna putih dan biru.
Menariknya mengenai Santorini, pulau itu pernah menjadi lokasi penggambaran filem Mamma Mia untuk babak lagu Does Your Mother Know.
Bagaimanapun, sebelum ke Pulau Santorini, pasangan pengantin baru itu akan ke Pulau Maldives untuk destinasi bulan madu mereka.
Pada Jumaat lalu, Serina dan Salahudin telah dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan dengan disaksikan oleh 200 orang tetamu.
Serina telah menerima sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada cek bernilai RM30,000, alat solek, telekung, senaskhah al-Quran, cincin, kek, gelang tangan serta gaun manakala Salahudin pula juga menerima sembilan dulang hantaran iaitu cincin, kemeja, telefon bimbit, minyak wangi, kek, tali leher, jam dan senaskhah al-Quran.
Pada sebelah malamnya pula, pasangan mempelai diraikan oleh 250 tetamu di NEO, Jalan Sultan Ismail dalam satu majlis berinai besar yang berkonsepkan Jawa moden kontemporari dengan tema warna hijau.
Sabtu lalu pula merupakan majlis kemuncak daripada lima majlis untuk meraikan pasangan tersebut. Serina dan Salahudin bersanding dalam majlis bertemakan taman di The Royale Chulan, Kuala Lumpur dengan dihadiri sebanyak 700 orang tetamu.
Malam itu, Serina mengenakan baju rekaan Radzuan Radzwil berwarna ungu muda dan kemudian mengenakan gaun rekaan Jovian Mandagie bagi upacara memotong kek. Salahudin pula mengenakan sut yang ditaja oleh Lord's Tailor. Selain itu, Serina turut mengenakan aksesori barangan kemas yang ditaja oleh Habib Jewels bernilai RM2.5 juta.
Pasangan merpati dua sejoli itu juga akan meraikan hari bahagia mereka di Sungai Koyan, Pahang pada hujung bulan ini.
Majlis Serina dan Salahudin yang mengetengahkan adat perkahwinan Melayu itu turut dirakamkan oleh Asian Food Channel (AFC) yang akan disiarkan selama dua jam pada Februari depan.
Tanggungjawab isteri
Sementara itu, Serina memberitahu dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya selepas sah bergelar isteri kepada Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn. Bhd. itu.
Namun dia mengakui yang kini dia mula berasa tanggungjawabnya semakin berat menjadi seorang isteri yang solehah dan pada masa yang sama juga membimbing suami menjadi seorang Islam.
"Kalau boleh saya mahu perkahwinan ini menjadi yang pertama dan terakhir dalam hidup saya. Dan saya juga mahu menjadi contoh yang baik kepada suami saya," katanya.
Bagi Salahudin pula, dia ingin menjadi seorang suami yang baik dan bertanggungjawab kepada isteri yang dicintainya itu.
"Saya gembira kerana segala-galanya berjalan dengan lancar. Dan syukur alhamdulillah saya mendapat isteri yang baik, cantik dan romantik," katanya yang sudah sembilan tahun tinggal di negara ini.
Sumber : Kosmo Online
SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA SERINA DENGAN PASANGANNYA SALAHUDIN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment