Tuesday, December 29, 2009

'Bonus bakar semangat pemain'


IMBAS KEMBALI... Skuad bola sepak negara meraikan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini.


PENGUMUMAN bonus berjumlah hampir RM30,000 seorang di atas kejayaan merangkul pingat emas Sukan SEA XXV di Laos telah membakar semangat barisan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
Bagi kapten skuad B-23 negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, pemberian bonus itu membuatkan mereka berasa dihargai selepas gigih beraksi sepanjang dua minggu untuk muncul pemenang acara bola sepak pada temasya dwitahunan itu.

"Alhamdulillah... kami bersyukur dengan insentif yang diberikan ini dan cukup menghargainya. Sebenarnya terpulang kepada FAM nak beri berapa, kami terima seadanya.

"Bagi kami, sebelum turun beraksi dalam setiap perlawanan di Laos tempoh hari, kami tak fikir langsung soal ganjaran. Hanya apa yang kami utamakan, untuk bawa balik pingat emas," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sepanjang enam perlawanan di Laos itu, benteng skuad negara yang diterajui Aidil, 22, bersama- sama Muslim Ahmad, Nasriq Baharom dan Sabre Mat Abu agak kebal apabila hanya dibolosi lima kali, tiga daripadanya ketika tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi peringkat kumpulan.

Sementara itu, bagi pencetus gol kemenangan skuad negara ketika menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir, Safiq Rahim, ganjaran merupakan perkara kedua yang difikirkannya sepanjang menyarung jersi skuad negara.

"Saya rasa okey saja diberikan wang ganjaran ini. Ia membuatkan kami berasa dihargai.
"Jumlah tak penting, kami terima saja. Lagipun memenangi pingat emas lebih memberikan kepuasan," kata Safiq.

Penyerang muda dari Terengganu, Abdul Manaf Mamat yang mengisi kekosongan ketika ketiadaan Zaquan Adha Abdul Radzak dalam beberapa perlawanan di Laos berasa bersyukur dengan bonus yang diberikan FAM itu.

"Tiada apa sangat nak dikata. Saya bersyukur sahaja dengan apa yang diberikan ini.

"Tetapi secara jujur saya katakan, kami lebih memikirkan untuk muncul juara, itu yang kami idamkan kerana kita sudah 20 tahun kemarau pingat emas," ujar Manaf.

Penjaga gol skuad negara, Farizal Marlias pula menganggap bonus tersebut sebagai rezeki menjelang tahun baru 2010.

"Saya lihat semua pemain pada latihan hari ini (semalam) begitu gembira dan ceria.

"Mungkin ini rezeki tahun baru dan harap ia dapat meningkatkan semangat para pemain menjelang aksi bertemu UAE minggu depan," jelas Farizal.

Sumber : Kosmo Online

JANGAN BANGGA SANGAT DENGAN KEMENANGAN INI...
ADA LAGI PERLAWANAN SELEPAS INI...
CUBA BUAT YANG TERBAIK, JANGAN KALAH.....
DAPAT SERI PUN TAK PA DENGAN UAE....

No comments: