Tuesday, November 03, 2009

Gabenor Bali cemburu Malaysia

DENPASAR: Gabenor Bali, I Made Mangku Pastika mengakui cemburukan Malaysia kerana berupaya menarik 22 juta pelancong asing tahun lalu.

Bali sebagai destinasi pelancongan paling popular dunia menetapkan sasaran menarik dua juta pelancong asing tahun ini, kata Pastika pada bengkel bertemakan ‘Pencegahan Keganasan dalam Persekitaran Pelancongan Bali,’ di sini.

Sering dirujuk sebagai Pulau Tuhan, Bali memiliki banyak tempat menarik sebagai tambahan kepada keunikan budaya dan masyarakatnya, termasuk pantai yang belum tercemar, gunung berapi, tasik malah sungai yang menyediakan panorama menarik.

“Walaupun dengan aset itu, Bali gagal menarik jumlah pelancong asing seperti Malaysia,” katanya.

Pastika berkata, kejayaan Malaysia menarik ramai pelancong asing disebabkan sumber manusianya, keselamatan terjamin dan infrastruktur yang bagus.

Beliau yang juga bekas ketua polis Bali yang mengetuai siasatan pengeboman Bali 2002, berjanji mengutamakan pembangunan pada tiga kawasan penting iaitu sumber manusia, pendidikan dan kesihatan rakyat. - Agensi

Berita Harian - 3 November 2009

No comments: