Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman bersetuju jika caruman KWSP dikembalikan kepada 11 peratus supaya masa depan pekerja lebih terjamin.
Katanya, tindakan mengembalikan caruman kepada 11 peratus dilihat mampu membantu pekerja menggunakan simpanan wang tersebut untuk manfaat selepas persaraan.
"Saya berpendapat, sudah tiba masanya potongan lapan peratus caruman KWSP kembali kepada 11 peratus kerana ia dapat melatih supaya kita berjimat-cermat.
"Kita perlu sedar, jika ada wang dalam tangan, sikap kita yang kadangkala alpa dalam berbelanja akan menyebabkan pembaziran dan boros," katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kesediaan kerajaan menimbang permintaan MTUC untuk mengembalikan caruman 11 peratus KWSP daripada potongan lapan peratus sebelumnya, jika itu adalah kehendak majoriti pekerja.
Dalam perkembangan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta MTUC mengemukakan segera cadangan tersebut secara rasmi kepada kerajaan supaya ia dapat dibincang dengan lebih lanjut.
"Usaha ini juga dilihat mampu memberikan mesej kepada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan di atas pemotongan lapan peratus caruman KWSP sebelum ini," tambahnya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah turut bersependapat dengan Maamor yang mahu caruman KWSP dikembalikan kepada kadar asal sebanyak 11 peratus.
"Simpanan hari tua sepatutnya tidak perlu dikacau kerana pekerja tidak mengetahui apa akan terjadi di kemudian hari.
"Kerajaan juga boleh kurangkan bayaran-bayaran lain misalnya mengurangkan kadar faedah pinjaman kerajaan," ujarnya.
Muhammad Shaani memberitahu, sekiranya kerajaan mampu mengurangkan bayaran-bayaran lain, ia dapat membantu pekerja menampung kenaikan kos sara hidup dan caruman KWSP dikekalkan kepada 11 peratus.
"Walaupun ekonomi tidak pulih sepenuhnya, saya berharap projek- projek kerajaan mengutamakan bekalan dalam negara terutamanya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan supaya ekonomi dalam negara berkembang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan pula berpendapat, pekerja sebenarnya masih mampu menyimpan wang meskipun mereka memilih untuk memotong sebanyak lapan peratus caruman KWSP.
Menurut beliau, ia bagaimanapun bergantung kepada kebijaksanaan seseorang pekerja itu dalam menguruskan kewangan mereka.
"Jika bijak, mereka boleh menyimpan baki tiga peratus itu dalam pelbagai skim saham amanah yang disediakan kerajaan dan kadangkala pulangannya lebih lumayan berbanding dividen yang dibayar oleh KWSP.
"Bagi pekerja yang berpendapatan RM4,500 ke atas dan mencarum lebih daripada RM6,000 setahun di dalam KWSP, mereka lebih berminat caruman pada kadar lapan peratus kerana ia lebih menguntungkan berbanding caruman sebanyak 11 peratus," ujarnya.
Utusan Malaysia - 22 Oktober 2009
No comments:
Post a Comment