Monday, October 26, 2009

Kanser Payudara - Bukan 'Pertarungan' Wanita Sahaja


KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Sejak dulu lagi, masyarakat menganggap barah payudara atau kanser buah dada merupakan masalah yang eksklusif bagi wanita sedangkan penyakit ini boleh juga menghimpit kehidupan semua anggota keluarga.

Bila seorang wanita diserang barah payudara, kanser ini meletakkan beban yang berat bukan sahaja bagi pesakit itu tetapi akan turut dirasai suami, anak-anak dan anggota keluarga yang lain.

Oleh itu, pengesanan awal kanser ini amat penting dan seharusnya bermula dari unit asas perhubungan kemanusiaan, iaitu sebuah keluarga.

Bagi kaum lelaki, mereka seharusnya menyedari betapa pentingnya peranan mereka dalam kehidupan pasangan mereka serta juga kehidupan rakan wanita dan keluarga mereka.

Bagi mendekati isu ini, Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) melancarkan sebuah buku yang diberi tajuk 'His and Her Story'.

'HIS AND HER STORY'

Buku ini, boleh didapati dalam Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

'His and Her Story' merupakan satu pendekatan yang boleh mendorong lelaki memberi sokongan dan semangat untuk wanita kesayangan mereka menjalani pemeriksaan penyaringan bagi mengesan kanser payudara.

Buku ini ialah kumpulan beberapa testimoni peserta projek MENCARE.

Projek MENCARE merupakan usaha antara Pfizer dan NCWO bertujuan untuk mendidik dan mendapatkan sokongan daripada suami, bapa dan lelaki di dalam komuniti dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.

"Pfizer memang komited memainkan peranan dalam masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup sihat melalui beberapa inisiatif dan program umum.

"Saya harap 'His and Her Story' akan menyedarkan mereka. Adalah menjadi harapan kami agar satu hari nanti MENCARE dapat diserapkan dalam setiap lapisan masyarakat melalui perubahan dasar dan perundangan," kata Pengarah Urusan Pfizer Ahmet Genel pada majlis pelancaran buku itu baru-baru ini.

MENCARE

Sejak pelancaran MENCARE pada tahun 2006, program itu dijalankan di enam lokasi di Malaysia dan telah melahirkan 200 fasilitator. November ini, usia program itu akan genap tiga tahun.

Sebuah manual latihan dan buku panduan yang lengkap telah disiapkan bagi kegunaan pemberi khidmat pertubuhan wanita dan penjagaan kesihatan untuk dijadikan alat program kanser yang mereka jalankan.

Semasa bengkel projek ini dijalankan, banyak kisah sebenar dirakam dan dikumpul yang boleh memberi semangat bagi kaum lelaki mengenai kesedaran kanser payudara. Dengan kompilasi itu, terbitlah 'His and Her Story' versi Bahasa Inggeris pada tahun 2000.

Menurut Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy, MENCARE melihat kepada keperluan yang melibatkan lelaki secara langsung dalam masalah yang dihadapi pesakit wanita menderita menghadapi kanser payudara.

"Sambutan golongan lelaki bagi pemeriksaan penyaringan, pengesanan awal dan rawatan, meningkatkan lagi peluang melawan barah itu dan peluang untuk hidup. NCWO dan Pfizer berkongsi satu misi, bekerjasama ke arah mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik bagi wanita Malaysia," katanya.

KANSER PALING KERAP MENYERANG WANITA MALAYSIA

Kanser payudara ialah kanser yang paling kerap menyerang wanita di Malaysia dan juga merupakan satu pertiga daripada jumlah kesemua sakit barah yang menyerang golongan itu.

Seorang wanita di Malaysia mempunyai risiko satu dalam 20 diserang kanser dalam kehidupan mereka tetapi tidak ramai yang faham cara mengendalikan pemeriksaan payudara sendiri.

Tidak ramai juga yang mahu menjalankan pemeriksaan secara berkala oleh pakar-pakar kesihatan.

Dengan itu tidak hairanlah kalau banyak kes itu di Malaysia dikesan pada peringkat yang agak lanjut walaupun terdapat pusat pemeriksaan penyaringan dan kempen pendidikan.

Menurut kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 1996, hanya 46.9 peratus wanita menjalani pemeriksaan payudara.

Antara sebab mengapa ramai wanita yang agak sukar menjalani pemeriksaan penyaringan kanser payudara ialah perasaan takut terhadap 'penerimaan' pasangan lelaki mereka.

Menurut satu kajian NCWO, 65 peratus lelaki bersetuju tentang faktor 'penolakan' yang menyebabkan ramai wanita enggan menjalani pemeriksaan penyaringan.

MENINGKATKAN PELUANG HIDUP

Seperti yang dibuktikan di dalam 'His and Her Story', bila kaum lelaki menunjukkan sokongan mereka, maka peluang bagi pasangan wanita mereka yang menghidapi kanser payudara untuk hidup lebih lama juga turut meningkat.

"Kenapa wanita Malaysia segan menjalani pemeriksaan penyaringan? Ada beberapa sebab, antaranya tiada kesedaran dan pengetahunan serta perasaan takut untuk mengetahui perkara yang sebenar. Ketakutan yang paling ketara ialah reaksi daripada suami, iaitu sama ada akan ditinggalkan suami atau tidak dihiraukan," kata Ahmet.

Menurut beliau, bila seorang wanita diberitahu bahawa beliau menghidapi kanser payudara, itu ialah berita buruk bukan hanya bagi wanita berkenaan, tetapi juga semua anggota keluarga beliau.

"Peranan suami untuk menjaga wanita yang mereka sayang adalah amat penting dan amat bermakna pada ketika sebegini.".

Naskah percuma 'His and Her Story' boleh didapati dengan menghubungi NCWO di 03-7943 3008 atau e-mel ncwohq@yahoo.com.

-- BERNAMA

No comments: